Trump tarik balik ancaman serang Iran - Utusan Malaysia

Trump tarik balik ancaman serang Iran

DONALD TRUMP menarik bal;ik ancaman untuk menyerang Iran. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Khamis menarik balik ancamannya untuk melancarkan serangan lanjut terhadap Iran dan berkata, satu perjanjian dengan Teheran bagi menamatkan perang itu boleh ditandatangani dalam beberapa hari akan datang.

Pengumuman Trump mencetuskan kenaikan pasaran saham dan menjunamkan harga minyak, walaupun pendirian Iran masih belum jelas. Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei, berkata, Teheran belum mencapai keputusan muktamad mengenai perjanjian itu.

Mendakwa bahawa rundingan dengan Iran telah dibawa ke peringkat tertinggi kepimpinan Iran dan telah diluluskan, Trump berkata, beliau telah membatalkan serangan dan pengeboman yang dijadualkan terhadap Iran pada malam Khamis.

“Tempat dan masa untuk menandatangani perjanjian akan diumumkan tidak lama lagi,” katanya.

Beliau berkata, butiran akhir perjanjian itu telah dipersetujui oleh Amerika dan sekutu-sekutunya di rantau tersebut, termasuk Israel, yang bersama Washington melancarkan perang itu pada Februari.

Agensi berita Tasnim menyatakan bahawa Trump telah mengumumkan perjanjian bakal dicapai sebanyak 38 kali dalam tempoh dua bulan sebelumnya.

“Sehingga Iran mengumumkan perkara berkaitan kemungkinan persefahaman ini, sebarang berita daripada Trump mengenai perkara ini perlu dianggap sama seperti kenyataan beliau sebelum ini,” kata agensi itu sebagai amaran.

Trump kemudian mengulangi pendiriannya apabila memberitahu wartawan bahawa: “Saya faham jawapannya adalah ya.”

Beliau menyatakan demikian ketika ditanya sama ada Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Mojtaba Khamenei, telah meluluskan perjanjian tersebut.

Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, beliau telah bercakap dengan Trump, yang memberi jaminan bahawa sebarang memorandum persefahaman akan merangkumi penghapusan bahan nuklear diperkaya milik Teheran serta pembongkaran infrastruktur peluru berpandu Iran. 

Perang tersebut  yang bermula pada 28 Februari dengan gelombang serangan Amerika-Israel terhadap Iran yang mengorbankan Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei terhenti sementara melalui gencatan senjata pada April. 

Namun, usaha untuk mencapai penamatan kekal terhadap pertempuran itu dilihat masih tersekat.

Datuk Bandar Teheran berkata pengebumian bekas pemimpin tertinggi Iran itu akan ditangguhkan sehingga akhir Jun atau awal Julai. – AFP

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN