Yemen beri amaran perang Amerika-Iran akan langkaui Asia Barat - Utusan Malaysia

Yemen beri amaran perang Amerika-Iran akan langkaui Asia Barat

IMEJ dikeluarkan tentera AS menunjukkan serangan yang menyasarkan keupayaan pemantauan ketenteraan, sistem komunikasi dan tapak pertahanan udara Iran.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SANAA: Kerajaan Yemen yang berpangkalan di Sanaa memberi amaran tindakan agresif berte­rusan Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran boleh mencetuskan perang berskala besar sekali gus mengancam kestabilan pasaran tenaga dan perdagangan global.

Kementerian Luar Yemen da­lam satu kenyataan berkata, peningkatan ketegangan itu me­nimbulkan ancaman terhadap keamanan dan keselamatan antarabangsa dan menegaskan tindakan ketenteraan yang berterusan tidak akan mencapai matlamat yang diisytiharkan oleh pihak terbabit.

Menurut kementerian itu, permusuhan berterusan terhadap Iran berpotensi mengganggu rantaian bekalan antarabangsa dan laluan perdagangan global, khususnya pasaran tenaga dan minyak yang bakal boleh menjejaskan kestabilan ekonomi dunia.

Perkembangan sedemikian juga dikhuatiri akan membawa kesan yang melangkaui rantau Asia Barat.

AS melancarkan serangan baharu di beberapa kawasan selatan Iran awal semalam bagi hari kedua berturut-turut sebelum Teheran bertindak balas dengan menyerang kemudahan AS di Bahrain, Kuwait dan Jordan.

Yemen trurut menegaskan Iran berhak mempertahankan kedaulatan serta keutuhan wilayahnya, termasuk hak untuk bertindak balas terhadap serangan dan menyasarkan pangkalan tentera AS di rantau itu jika perlu.

Yemen turut menyatakan solidariti politik dan moral terhadap Iran serta menyuarakan sokongan kepada Teheran dalam menghadapi apa yang disifatkannya sebagai tindakan agresif dan sekatan oleh AS.

Sementara itu, beberapa letupan dilaporkan berlaku di Bandar Abbas di selatan Iran, termasuk di kawasan berhampiran lapangan terbang bandar itu dan sebuah pangkalan tentera udara, menurut agensi be­rita rasmi Iran, IRNA, menandakan peningkatan ketegangan dalam siri insiden yang berlaku di seluruh Wilayah Hormozgan.

Laporan itu muncul tidak lama selepas pihak berkuasa Iran mengumumkan pengaktifan sistem pertahanan udara di bahagian barat Tehran dan beberapa kawasan di selatan negara itu, termasuk Asaluyeh serta lokasi strategik tenaga lain, ketika ketegangan ketenteraan serantau semakin memuncak.

Sebelum ini, agensi berita Mehr melaporkan, letupan turut ke­dengaran di Sirik dan Minab di Wi­layah Hormozgan, manakala la­poran lain menunjukkan aktivi­ti ketenteraan di Qeshm, Pulau He­ngam selain beberapa kawasan pesisir di sepanjang Selat Hormuz.

SERANGAN BALAS
Iran kemudiannya mengumumkan melancarkan serangan terhadap 21 sasaran ketenteraan AS di seluruh rantau itu sambil memberi amaran kepada Wa­shington supaya tidak terus meningkatkan ketegangan baharu susulan serangan yang berlaku sejak tiga hari lalu.

Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mengumumkan lokasi serangan termasuk ibu pejabat Armada Kelima AS di Bahrain dan kemudahan yang digunakan tentera AS di Jordan.

Menurut IRGC, operasi itu menyasarkan hangar pesawat pejuang F-35 dan pusat kawalan dan arahan Tentera Darat AS di pangkalan Azraq, Jordan. Media Iran melaporkan peluru berpandu balistik Kheibar Shekan digunakan dalam serangan tersebut.

Pasukan itu turut mengumumkan serangan dron terhadap ibu pejabat Armada Kelima AS di Bahrain, yang merupakan antara kemudahan ketenteraan paling penting Washington di rantau Teluk.

Pegawai Iran turut mendakwa empat sasaran utama berjaya dimusnahkan dan sistem pertahanan udara negara itu menem­bak jatuh sebuah dron MQ-9 milik AS di Wilayah Bushehr, selatan Iran.

Operasi berkenaan dilancarkan beberapa jam selepas sera­ngan AS menyasarkan beberapa kawasan di selatan Iran.

Markas Pusat Khatam al-Anbiya Iran berkata, serangan itu dilakukan sebagai tindak balas terhadap apa yang disifatkannya sebagai pencerobohan AS yang dilakukan dengan alasan insiden sebuah helikopter Apache miliknya ditembak jatuh berhampiran Selat Hormuz.

Sementara itu, tentera Jordan berkata pada Khamis bahawa pihaknya telah memintas 20 peluru berpandu yang dilancarkan dari Iran, selepas Pengawal Revolusi mengumumkan bahawa mereka telah menyerang sebuah pusat markas AS di negara itu.

Pegawai tentera Iran turut menegaskan setiap tindakan musuh akan dibalas dengan tindak balas yang ‘lebih keras dan lebih dahsyatt.

Pertukaran serangan terbaharu itu berlaku ketika usaha gencatan senjata dan rundingan antara Teheran dan Washington masih diteruskan.

Pegawai Iran berulang kali menuduh AS melanggar persefahaman yang dicapai pada April lalu dan memberi amaran tekanan ketenteraan yang berterusan berisiko meluaskan konflik melangkaui sempadan Iran.

Peningkatan ketegangan terbaharu itu menyusuli beberapa bulan konfrontasi yang bermula selepas serangan AS-Israel terhadap Iran pada 28 Februari lalu.

Walaupun pegawai Iran memberi isyarat kesediaan untuk meneruskan rundingan, mereka tetap menegaskan sebarang serangan ke atas wilayah Iran akan mencetuskan tindak balas ketenteraan secara langsung.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN