MADRID: Sepanyol akan meminta Kesatuan Eropah (EU) menamatkan perjanjian kerjasama dengan Israel berikutan dakwaan pelanggaran undang-undang antarabangsa, kata Perdana Menteri, Pedro Sanchez pada Ahad.
Sepanyol sebelum ini mengkritik kerajaan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berhubung konflik Gaza dan serangan Israel ke atas Lubnan, manakala Netanyahu pula menuduh Sepanyol bersikap hipokrit serta bermusuhan.
“Pada Selasa, kerajaan Sepanyol akan mengemukakan cadangan kepada EU supaya Kesatuan Eropah (EU) memutuskan perjanjian kerjasamanya dengan Israel,” kata Sanchez dalam satu perhimpunan politik di Andalusia.
Beliau mendakwa Israel melanggar undang-undang antarabangsa dan oleh itu tidak boleh menjadi rakan kepada EU.
Menteri Luar Israel, Gideon Saar membalas melalui hantaran media sosial dalam bahasa Sepanyol dengan menyatakan negaranya tidak akan menerima syarahan hipokrit daripada seseorang yang mengekalkan hubungan dengan rejim totalitarian sambil merujuk kepada Turkiye dan Venezuela di bawah bekas pemimpin Nicolas Maduro.
Perjanjian kerjasama yang dimeterai pada Jun 2000, satu perjanjian yang menyediakan rangka kerja kerjasama mengandungi klausa yang mewajibkan penghormatan terhadap hak asasi manusia.
Sepanyol dan Ireland pertama kali menggesa semakan perjanjian itu pada 2024 susulan pengeboman Israel di Gaza.
Pengiktirafan Sepanyol terhadap negara Palestin pada tahun yang sama menimbulkan kemarahan Israel, dan sejak itu Sanchez meningkatkan kritikannya terhadap kerajaan Netanyahu.
Sepanyol, Ireland dan Slovenia turut menghantar surat kepada Suruhanjaya Eropah pada Jumaat lalu untuk meminta agar perjanjian dengan Israel dibincangkan dalam mesyuarat seterusnya menteri luar EU.
Bulan ini, Netanyahu menuduh Sepanyol melancarkan kempen diplomatik bermusuhan terhadap negaranya dan melarang Madrid daripada menyertai kerja sebuah pusat yang diketuai AS yang ditubuhkan untuk membantu menstabilkan Gaza pasca perang. – AFP










