Tidak lagi asingkan diri selepas pembedahan implan koklea - Utusan Malaysia

Tidak lagi asingkan diri selepas pembedahan implan koklea

MOHAMMAD Baki Ramly ditemui pemberita pada Sambutan Hari Pendengaran Sedunia Peringkat Kebangsaan 2023 di HRPB di Ipoh hari ini. - UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang pesara guru menzahirkan rasa syukur apabila tidak perlu lagi mengasingkan diri daripada masyarakat setelah menjadi pesakit pertama di Perak yang menjalani pembedahan implan koklea akibat masalah pendengaran 13 tahun lalu.

Mohammad Baki Ramly, 68, berkata, masalah pendengaran tahap serius yang dialaminya membuatkan dia hilang keyakinan diri apabila berhadapan dengan masyarakat.

Menurutnya, sebelum ini, apabila rakan-rakan sekerja berkumpul atau bersembang, dia terpaksa mengasingkan diri kerana tidak dapat mendengar dengan baik perbualan mereka.

“Saya hilang keyakinan diri dan disebabkan itu saya terpaksa bersara awal,” katanya kepada pemberita pada Perasmian Sambutan Hari Pendengaran Sedunia Peringkat Kebangsaan 2023 di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini hari ini.

Majlis dirasmikan Pengarah Perkembangan Perubatan Kementerian Kesihatan (KKM), Dr. Mohd. Azman Yacob

Mohamad Baki yang merupakan bekas Guru Sekolah Kebangsaan Hutan Melintang berkata, dia mengalami masalah pendengaran sejak berpindah semula ke Semenanjung dari Sabah sebaik sahaja turun daripada kapal terbang.

Katanya, sejak itu dia merasakan pendengarannya kurang jelas dan terus merujuk masalah itu ke hospital dan pemeriksaan mendapati gegendang telinganya sudah bernanah.

“Pembedahan implan koklea ini mengembalikan keyakinan diri saya untuk bergaul bersama masyarakat termasuk menjalankan aktiviti harian.

“Sekarang, saya bukan sahaja boleh menjalankan aktiviti harian malah saya juga dapat mendengar dan menghadiri ceramah-ceramah agama serta bergaul bersama rakan-rakan,” katanya.

Sementara itu, Dr. Mohd. Azman Yacob berkata, setakat ini, sebanyak 576 pembedahan implan koklea telah dijalankan di seluruh negara dan 70 pembedahan di Perak.

Menurutnya, pembedahan implan koklea boleh dibuat pada semua peringkat umur terutamanya pada mereka yang mengalami pendengaran yang semakin berkurang.

“Kos bagi pembedahan ini agak tinggi bergantung kepada jenis dan teknologi yang digunakan.

“Tetapi bagi pesakit-pesakit yang tidak mampu, kita ada saluran bantuan kepada mereka yang merupakan tabung bantuan perubatan dikelolakan oleh KKM,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.