Ronnie Liu tersentuh ketika kunjungi Plak Monumen Rukun Negara

Ronnie Liu tersentuh ketika kunjungi Plak Monumen Rukun Negara

RONNIE Liu Tian Khiew sewaktu mengakui tersentuh selepas membaca semula Rukun Negara di Dataran Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Ronnie Liu Tian Khiew mengakui tersentuh selepas membaca semula Rukun Negara di Dataran Selangor seperti disarankan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Berkongsikan kehadirannya ke Plak Monumen Rukun Negara, Ronnie berkata, apabila berdiri semula membaca dan menghayati Rukun Negara di Dataran Selangor, ia memberi kesedaran bahawa apa yang ditinggalkan pengasas negara ini bukan sekadar rangkap kata.

Sebaliknya, katanya, ia merupakan suatu kebijaksanaan negara yang lahir daripada pengalaman pahit dan luka besar pernah dilalui negara.

“Kelahiran Rukun Negara sendiri tercetus selepas insiden 13 Mei, apabila negara berusaha mengelakkan konflik kaum, perpecahan masyarakat dan politik ekstrem daripada berulang kembali dengan membentuk satu semangat kebangsaan bersama.

“Oleh itu, nilai sebenar Rukun Negara bukan sekadar terletak pada lima prinsipnya, tetapi pada semangat yang dibawanya agar rakyat daripada pelbagai kaum, agama dan latar budaya dapat terus hidup bersama secara aman, saling menghormati, serta bersama-sama membina masa depan negara,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya hari ini.

Beliau berkata, lima prinsip asas Rukun Negara iaitu ‘Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang serta Kesopanan dan Kesusilaan’ sebenarnya merangkumi hampir seluruh nilai asas yang diperlukan untuk menjamin kestabilan jangka panjang sebuah negara majmuk.

Tambahan pula, katanya, pada hari ini, ketika politik semakin dipenuhi emosi dan masyarakat semakin mudah terjebak dalam polarisasi ekstrem, kebijaksanaan dan kepentingan sebenar Rukun Negara lebih terserlah nilainya.

“Membaca semula Rukun Negara hari ini juga membuatkan saya kembali bermuhasabah, adakah masa depan negara ini mahu terus dibina atas kebencian, ekstremisme dan pertarungan politik yang tiada penghujung, atau kita harus kembali kepada kematangan, rasionaliti, institusi, saling menghormati dan perpaduan,” katanya.

Beliau justeru menyeru semua pihak tanpa mengira latar belakang politik untuk membaca dan menghayati Rukun Negara dan menilai semula segala tindak tanduk masing-masing di gelanggang politik tanah air sekiranya menetapi Perlembagaan, menghormati undang-undang dan membantu mengukuhkan perpaduan negara.

“Kerana apa yang benar-benar mampu menstabilkan sesebuah negara adalah ketamadunan, institusi, kedaulatan undang-undang, saling menghormati dan perpaduan masyarakat.

“Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pengasas negara yang membentuk Rukun Negara. Hari ini, kita semakin memahami bahawa apa yang mereka tinggalkan bukan sekadar tulisan, tetapi satu panduan penting agar negara ini terus stabil dan maju ke hadapan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN