THT berpesta gol belasah UiTM 10-0 - Utusan Malaysia

THT berpesta gol belasah UiTM 10-0

PEMAIN THT, Muhammad Marhan Mohd. Jalil (tiga, kiri) cuba melepasi kawalan pemain UITM  pada aksi HML di Stadium Hoki MBKT Batu Buruk, Kuala Terengganu, petang tadi. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Juara bertahan Liga Hoki Malaysia (MHL), Pasukan Hoki Terengganu (THT) berada dalam kelas tersendiri membelasah UiTM 10-0 di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu  (MBKT), petang tadi.

Pesta gol THT dimulakan Jang Jonghyun menerusi pukulan sudut penalti pada minit kelapan disusuli tindakan susulan Ismail Abu ketika kelam-kabut di depan pintu gol pada minit ke-13.

Jonghyun kemudian menyudahkan pukulan sudut penalti pada minit ke-25, sebelum Ismail turut menjaringkan gol kedua peribadi dengan menyambar hantaran Lukman Nul Hakim Shukaran pada minit ke-28.

Mendahului 4-0 sehingga tamat separuh masa, THT terus garang menyaksikan Akhimullah Anuar Esook melepaskan pukulan kencang pada minit ke-32 untuk gol kelima tuan rumah.

Penyokong THT makin ceria apabila kedudukan menjadi 7-0 dengan Jonghyun meledak gol ketiga dan keempat peribadi melalui pukulan sudut penalti pada minit ke-44 dan ke-50.

Tidak lama sejurus itu, giliran penyerang prolifik, Faizal Saari menjadi penjaring selepas menyudahkan hantaran adiknya, Mohd. Fitri untuk menjadikan kedudukan lapan gol tanpa balas.

Pada minit ke-57, Faizal mempamerkan sentuhan berbisa dengan melakukan larian solo sebelum pukulan kencangnya menewaskan penjaga gol UiTM, Fitri Zulfadhli Shahar.

Bekas pemain remaja negara, Akhimullah melengkapkan kemenangan bergaya 10-0 menerusi jaringan padang seminit sebelum tamat sekaligus memastikan tiga mata mutlak menjadi milik THT.

Keputusan itu menyaksikan THT berada di landasan tepat mengekalkan kejuaraan liga mengumpul 34 mata dengan baki dua perlawanan menentang Nurinsafi Sporting dan TNB di laman sendiri. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.