PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) menafikan satu kenyataan media yang tular di media sosial kononnya gabungan itu memutuskan untuk tidak menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.
Menerusi hantaran ringkas di Facebook rasmi hari ini, PN menegaskan kenyataan berkenaan adalah palsu dan tidak benar serta tidak pernah dikeluarkan oleh gabungan itu.
“Kenyataan media yang tular adalah palsu dan tidak benar,” menurut hantaran tersebut.
Terdahulu, satu kenyataan yang kononnya dikeluarkan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendakwa penggunaan lambang dan bendera PN tidak dibenarkan sama sekali dalam PRN Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.
Kenyataan palsu itu turut mendakwa keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang berlangsung semalam, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai hala tuju gabungan berkenaan menjelang tiga PRN tersebut.-UTUSAN










