Lelaki dicekup PGA selepas edar pil kuda selama tiga tahun - Utusan Malaysia

Lelaki dicekup PGA selepas edar pil kuda selama tiga tahun

PIL Kuda yang dirampas PGA selepas menahan seorang lelaki dalam serbuan di Lemal, Pasir Mas, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Kegiatan seorang lelaki yang menjadikan sebuah bangsal di kawasan semak di Kampung Longgel, Lemal di sini sebagai lokasi menjual pil yaba sejak tiga tahun lalu akhirnya terbongkar apabila ditahan dalam serbuan Op Taring Wawasan Kelantan, kelmarin.

Suspek berusia 34 tahun itu ditahan pada 6.30 petang itu selepas anggota Risik dan Pasukan Petugas Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa melakukan pemantauan hampir sejam sebelum lelaki berkenaan membuka pintu bangsal yang diikat menggunakan dawai.

Komander Briged Tenggara Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussian berkata, hasil pemeriksaan lanjut di dalam bangsal tersebut membawa kepada penemuan 600 biji pil yaba bernilai RM6,000 yang disembunyikan di atas struktur bangsal berkenaan.

Katanya, turut dirampas sebuah telefon bimbit yang digunakan oleh suspek.

“Siasatan awal mendapati suspek mengaku terlibat dalam penyalahgunaan dadah jenis yaba sejak 14 tahun lalu selain aktif menjual bahan terlarang itu sejak tiga tahun kebelakangan ini.

“Suspek turut mengaku bekerja dengan seorang individu yang membekalkan 100 biji pil yaba setiap hari untuk dijual pada harga RM10 sebiji,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Ahmad Radzi memberitahu, sebagai balasan, suspek menerima upah RM100 sehari dan menjalankan aktiviti penjualan dadah di bangsal tersebut antara pukul 12 tengah hari hingga 10 malam setiap hari.

Katanya, saringan air kencing mendapati suspek positif methamphetamine.

“Semakan turut mendapati suspek mempunyai sembilan rekod lampau berkaitan pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 termasuk membabitkan Seksyen 39B, Seksyen 39A(1), Seksyen 15(1)(a), Seksyen 12(2) dan Seksyen 12(3).

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN