Menjaga integriti akademik di era AI

Menjaga integriti akademik di era AI

PENTING untuk memastikan penggunaan kecerdasan buatan (AI) berpaksikan amalan tadbir urus yang baik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANYAK isu yang membabitkan dunia akademik berlaku kebelakangan ini, khususnya berkaitan penggunaan kecerdasan buatan (AI). Perkembangan ini menimbulkan persoalan penting tentang etika, integriti dan kejujuran dalam institusi pendidikan tinggi.

Baru-baru ini, Universiti Princeton mengumumkan akan memperkenalkan semula pengawas peperiksaan selepas lebih 133 tahun mengamalkan sistem peperiksaan tanpa pengawasan. 

Sejak 1893, universiti yang berada dalam kelompok universiti terbaik dunia itu mengamalkan sistem yang dikenali sebagai Honor Code, iaitu satu pendekatan yang berasaskan kepercayaan, etika dan integriti.

Melalui sistem tersebut, pelajar dikehendaki menandatangani ikrar untuk bertindak jujur sepanjang peperiksaan serta tidak melakukan sebarang bentuk penipuan akademik. Kejayaan sistem ini bertahan selama lebih satu abad mencerminkan betapa tingginya nilai maruah akademik yang dijunjung oleh warga universiti berkenaan.

Namun, penghapusan sistem tersebut yang dijangka berkuat kuasa pada Julai ini memberi gambaran dunia akademik sedang berdepan cabaran baharu. 

Menurut laporan media, keputusan itu dibuat susulan kebimbangan terhadap penggunaan AI semasa peperiksaan. Lebih membimbangkan, terdapat pelajar yang tidak melaporkan perbuatan menipu yang dilakukan oleh rakan mereka. 

Malah, sebahagian pelajar sendiri menuntut supaya pengawas disediakan ketika peperiksaan dijalankan. Keadaan ini menunjukkan isu integriti akademik semakin mendapat perhatian dalam kalangan pelajar sendiri.

Fenomena ini bukan hanya berlaku di Universiti Princeton. Baru-baru ini, sebuah kertas kerja yang dibentangkan dalam simposium perubatan dan kesihatan antarabangsa di Denmark turut didakwa melibatkan penggunaan AI secara tidak beretika. Menariknya, dakwaan tersebut datang daripada peserta yang berasal dari negara yang sama dengan pembentang berkenaan.

Perkara seperti ini tidaklah mengejutkan, terutama dalam bidang kepakaran yang mempunyai bilangan pakar yang terhad. Mereka lazimnya saling mengenali dan memahami perkembangan semasa dalam bidang masing-masing. Justeru, mereka lebih mudah mengesan sebarang kandungan meragukan atau data yang menimbulkan persoalan.

Inilah membezakan antara seseorang yang benar-benar pakar dengan mereka masih baharu dalam sesuatu bidang. Pakar bukan sahaja menguasai teori dan pengetahuan, malah memahami secara mendalam kajian yang telah, sedang dan akan dilaksanakan. Mereka juga lebih berupaya menilai kesahihan data serta menjawab persoalan teknikal yang mendalam berkaitan bidang kepakaran mereka.

Kedua-dua contoh ini memperlihatkan bagaimana ledakan penggunaan AI sedang mengubah landskap akademik global. Hakikatnya, terdapat banyak lagi kes yang dilaporkan atau tidak dilaporkan, sama ada dalam bidang akademik mahupun bidang lain.

Namun demikian, cabaran ini tidak bermaksud AI perlu dipinggirkan. Sebaliknya, AI merupakan teknologi yang semakin penting dalam kehidupan moden dan berpotensi meningkatkan produktiviti, kecekapan serta keberkesanan organisasi.

Apa yang lebih penting ialah memastikan penggunaannya berpaksikan amalan tadbir urus yang baik. Setiap organisasi, termasuk universiti, sektor awam dan sektor swasta, perlu mempunyai dasar atau garis panduan yang jelas bagi memastikan penggunaan AI dilakukan secara beretika dan berintegriti.

Pada masa sama, pihak pengurusan perlu memahami potensi AI serta memastikan teknologi ini digunakan secara bertanggungjawab. Reputasi organisasi dan individu boleh terjejas sekiranya berlaku penipuan atau penyalahgunaan yang akhirnya diketahui umum.

AI bukanlah ancaman kepada dunia akademik. Sebaliknya, cabaran sebenar ialah memastikan penggunaannya disokong oleh etika, integriti dan tadbir urus yang baik agar kepercayaan terhadap institusi akademik terus terpelihara. –UTUSAN

 

DR. ANWARY SYUHAILY ROSLY & DR. ROHAMI SHAFIE

Universiti Poly-Tech Malaysia & Universiti Utara Malaysia (UUM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN