Saya anggap saya sudah juara - Cik B - Utusan Malaysia

Saya anggap saya sudah juara – Cik B

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pempengaruh dan selebriti media sosial, Cik B mengakui wang kemenangan yang diraih selepas menamatkan saingan di tempat ketiga program Talk To My Manager (TTMM) musim kedua tidak setimpal dengan jumlah pelaburan yang dikeluarkan sepanjang 10 minggu berada dalam pertandingan tersebut.

Bagaimanapun, anak kepada usahawan terkenal, Datuk Seri Vida (DSV) itu enggan mendedahkan jumlah sebenar kos yang dibelanjakan.

Pun begitu, Cik B mengakui perbelanjaan yang terlibat adalah besar memandangkan pelbagai aspek perlu ditanggung termasuk penginapan, tenaga kerja dan persiapan persembahan setiap minggu.

Ketika diajukan soalan mengenai jumlah keseluruhan kos yang dilaburkan sepanjang pertandingan, Cik B hanya berseloroh sebelum meminta perkara itu tidak diperincikan.

“Saya rasa tak perlulah beritahu. Cuma iya, memang besar kos yang dilaburkan dari pihak kami,”katanya sambil ketawa.

Mengulas lanjut, Cik B menjelaskan penyertaan mereka dalam program tersebut sememangnya bukan untuk mengejar hadiah kemenangan semata-mata, sebaliknya lebih kepada pengalaman dan ruang untuk mengembangkan bakat dirinya. 

“Saya cakap masa masuk program ini kami masuk untuk berseronok. Sebab dapat nombor satu pun tidak balik modal. Dapat RM30,000 pun tidak balik modal. Bermakna jangan tanya berapa kos, fikir sendirilah.

“Begini kos kami. Bayangkan sahajalah, kami duduk di Ipoh tetapi menyewa hotel setiap hari selama tiga bulan. Hotel pula sekitar RM300 hingga RM400 sehari. Staf-staf pun tinggal di hotel juga. Ada dua pasukan, pasukan saya dan pasukan mama saya,” katanya.

Menurut Cik B, kos penginapan yang ditanggung sahaja sudah mencecah puluhan ribu ringgit sebulan.

“Saya tinggal di sebuah residen di ibu negara. Harga sebulan sudah lebih RM20,000. Dalam sebulan macam itulah. Dengan staf-staf lagi. Staf mama lima orang, staf Cik B tiga orang.

“Jadi sebab itu saya cakap, kami masuk program ini untuk pengalaman dan untuk berseronok. Saya juga mahu tengok bakat saya sendiri. Bagi saya, program ini macam saya sedang mengikuti satu kursus jangka pendek,” katanya.

Dalam masa sama, Cik B berkata antara perkara paling berharga yang diperoleh sepanjang menyertai pertandingan tersebut ialah peluang menonjolkan sisi dirinya yang tidak pernah dilihat ramai sebelum ini.

“Saya sangat bangga dapat sampai ke final. Kalau tidak masuk TTMM, orang mungkin tidak dapat tengok macam mana bakat dan kemahiran yang saya ada.

“Daripada minggu pertama sampai minggu ke-10, saya buat susunan persembahan sendiri. Semua idea itu datang daripada saya sendiri. Mama cuma bayar sahaja,” katanya.

Walaupun gagal meraih gelaran juara, Cik B mengakui berpuas hati dengan pencapaiannya dan menganggap dirinya sebagai pemenang di hati para peminat yang sentiasa memberikan sokongan.

“Saya puas hati dengan persembahan saya dan saya dah anggap diri saya sebagai juara, dan juara kepada orang yang meminati saya. Saya tak kisah dapat nombor tiga dan saya sangat bangga saya dapat nombor tiga.

“Saya selalu sebut, saya tak nak nombor satu, saya nak nombor tiga. Mulut masin agaknya. Sebab bagi saya nombor satu itu untuk orang yang lebih berbakat dan lebih layak.

“Anggrek memang sangat layak. Walaupun dia baru berusia sembilan tahun, saya nampak sendiri dia datang awal ke kelas, berlatih setiap hari dan sangat berdisiplin.  Di belakang pentas dia macam budak biasa, tetapi apabila berada di atas pentas dia beri sepenuh tenaga dan sentiasa tampil luar biasa,” katanya.

Selain pengalaman di pentas pertandingan, Cik B mengakui perkara yang paling memberi kesan kepadanya ialah hubungan rapat yang terjalin bersama peserta lain sepanjang 10 minggu program berlangsung.

“Saya sangat bangga dapat sampai ke final, tetapi saya sedih juga. Sebab mungkin ini hari terakhir (semalam) saya dapat melihat mereka seperti selalu. Selama ini kami rapat, ada kelas vokal, kelas menari dan pelbagai aktiviti bersama.

“Sebenarnya saya lebih sedih kerana tidak dapat berjumpa mereka lagi berbanding keputusan pertandingan itu sendiri. Saya sudah berasa dekat dengan mereka semua, terutama Anggrek yang saya anggap seperti adik sendiri. Itu sebenarnya perkara yang paling berat bagi saya,” katanya.

Menyentuh perancangan selepas program berakhir, Cik B berkata dia tidak mahu mensia-siakan momentum yang diperoleh sepanjang menyertai pertandingan tersebut dan sudah merancang beberapa projek baharu dalam bidang seni.

“Saya akan mengeluarkan single saya sendiri. Saya juga akan menghasilkan mashup lagu mama iaitu I Am Me. Tunggu sahaja nanti,” katanya.

Pada masa sama, DSV turut mendedahkan bahawa Cik B telah menerima tawaran untuk membintangi sebuah filem selain sedang mempertimbangkan cadangan mengadakan persembahan khas pada masa akan datang.

“Insya-Allah ada perancangan. Cik B telah dilamar untuk sebuah filem, cuma kami sedang memikirkan soal masa yang sesuai. Selain itu, ada juga perancangan untuk mengadakan showcase.

“Bila ada pihak yang mula bertanya mengenai konsert atau showcase selepas program ini, itu menunjukkan mereka nampak bakat yang ada pada Cik B. Sama ada ia akan direalisasikan atau tidak, itu perkara yang akan kami teliti kemudian,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN