Teliti seksyen, peruntukan AUKU 'kongkong' mahasiswa - Saifuddin - Utusan Malaysia

Teliti seksyen, peruntukan AUKU ‘kongkong’ mahasiswa – Saifuddin

AUKU
SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan akan meneliti beberapa peruntukan dan seksyen dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) yang dilihat mengongkong kebebasan mahasiswa di negara ini.

Ini kerana, sesebuah akta atau undang-undang tidak bersifat statik semata-mata namun perlu dinamik mengikut peredaran masa.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pentadbiran kerajaan berkonsepkan Madani sentiasa terbuka untuk meneliti semula AUKU yang digubal lebih 50 tahun lalu itu.

“Justeru, penelitian akan melibatkan sekyen atau bahagian mana dalam aktiviti atau organisasi disertai mahasiswa.

“Sebagai contoh, ada peruntukan menetapkan golongan itu perlu mendapat izin pihak atasan institusi mereka jika mahu menyertai kegiatan di luar kampus,” katanya selepas merasmikan Program Townhall Ikon Madani (Ikon) anjuran Yayasan Prihatin Nasional (Prihatin) di Universiti Teknologi Mara (UiTM), semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini memberi jaminan akan menghapuskan peruntukan AUKU yang menyekat kebebasan mahasiswa dan pensyarah.

Minggu lalu, kerajaan memaklumkan belum bercadang memansuhkan akta itu yang lebih sesuai dipinda selepas melihat kepentingannya dalam urusan penubuhan, tadbir urus dan hubungan antara akauntabiliti institusi pengajian tinggi (IPT) bersama kerajaan serta masyarakat.

Sebarang kelemahan dalam AUKU boleh diperhalusi dan ditambah baik melalui pindaan, bukan pemansuhan secara keseluruhan.

Jelas Saifuddin, semua mahasiswa bebas menyuarakan idea dan pendapat menerusi pelbagai platform kepada kerajaan selagi tidak menyentuh institusi diraja dan sensitiviti agama atau kaum.

Dalam pada itu, beliau menegaskan golongan berkenaan bagaimanapun masih terikat dengan peruntukan Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Mana-mana perhimpunan yang disertai itu di bawah tanggungjawab polis, penganjur dan peserta berkenaan. Mahasiswa perlu mematuhinya dan tidak boleh sama sekali terlibat menyertai perhimpunan seumpamanya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya