Tauliah: Tak perlu tunggu ustaz buat permohonan - Utusan Malaysia

Tauliah: Tak perlu tunggu ustaz buat permohonan

AHMAD ROZAINI ABRUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri dicadang­kan supaya mentauliahkan atau menawarkan tauliah pendakwah yang diakui memiliki kepakaran dalam bidang agama tanpa perlu menunggu mereka membuat permohonan mendapatkan tauliah berceramah dan mengadakan kuliah agama.

Pengetua Akademi Darul Turath al-Hajari Lenggong, Ahmad Rozaini Abdul Rahman berkata, cara sedemikian akan memudahkan pendakwah dan penceramah agama untuk menyebarkan ilmu agama kepada masyarakat tanpa ada halangan.

Menurut beliau, sepatutnya jika seseorang pendakwah atau penceramah yang sudah diakui kepakarannya dalam bidang agama, mereka tidak perlu meminta tauliah sebaliknya pihak berkuasa agama sendiri yang menawarkan tauliah kepada mereka.

“Kalau kita tengok kepakaran ada padanya, tak payah dia minta tauliah, kita (pejabat agama negeri) tauliahkan dia, panggil dia dan beri tauliah, mengajarlah.

“Maksudnya, kita dah tahu kepakaran dia, ustaz-ustaz ini ada yang sangat popular, satu Malaysia kenal dia, kalau sebut namanya, ramai yang datang untuk mendengar ceramahnya.

“Orang yang macam inilah yang patut diberi kebenaran, tauliahkan dia tanpa perlu menunggu dia datang memohon tauliah. Kita dah tengok kesahihan apa yang dia ajar, maka setiap negeri tauliahkan kepadanya.

“Berikan tauliah berceramah dan mengadakan kuliah agama kepada pendakwah yang diakui kepakaran mereka dalam bidang agama tanpa perlu me­nunggu mereka membuat permohonan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, Ahmad Rozaini menyokong tindakan pihak berkuasa agama negeri yang menyekat penceramah dan pendakwah agama tertentu terutama mereka yang sering membuat kenyataan kontroversi sehingga menimbulkan perbalahan dalam masyarakat.

“Mereka ini kalau masuk TV, ada sahaja yang mereka pertikaikan. Kalau dulu Nis­fu Syaaban, tak lama lagi nak masuk bulan Ramadan, adalah (yang dipertikaikan) seperti doa buka puasa tak ada hadis, lepas tarawih tak ada selawat, tazkirah pun tak boleh, isu bilangan rakaat tarawih lapan atau 20 rakaat.

“Kalau masuk TV sahaja, mesti ada kenyataan yang menyebabkan perbalahan dalam masyarakat, mereka ini sepatutnya dilarang (muncul di rancangan televisyen),” katanya.

Isu tauliah mengajar kembali hangat selepas pembatalan kuliah maghrib penceramah popular, Ustaz Azhar Idrus di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong, Shah Alam, Se­langor, Februari lalu kerana tidak mempunyai tauliah me­ngajar agama di negeri itu.

Selain itu Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu juga memberi peringatan pe­mimpin dan aktivis politik di negeri itu tidak dibenarkan menggunakan masjid serta surau bagi menyampaikan cera­mah atau mengadakan aktiviti berunsur politik kepartian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya