KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah, mana-mana rakyat yang tidak mahu mengikut atau menghormati prinsip Rukun Negara tidak layak digelar sebagai warganegara Malaysia.
Baginda bertitah, Rukun Negara diperkenalkan sebagai aku janji dan ikrar seorang warga Malaysia bagi membina perpaduan kaum serta menjamin keharmonian masyarakat.
“Bagi membina perpaduan kaum dan menjamin keharmonian masyarakat, pada 31 Ogos 1970, kerajaan telah memperkenalkan Rukun Negara sebagai aku janji dan ikrar seorang warga Malaysia.
“Oleh yang demikian, jika ada mana-mana rakyat Malaysia yang tidak mahu mengikut prinsip Rukun Negara, saya menasihatkan mereka tidak layak digelar sebagai warganegara Malaysia,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara di sini hari ini.
Sultan Ibrahim bertitah, perpaduan merupakan asas kekuatan negara yang perlu terus dipelihara bagi menjamin kemajuan ekonomi, keharmonian kaum dan kestabilan negara.
“Sering saya tegaskan bahawa perpaduan adalah asas kekuatan negara. Oleh itu, bagi menjamin kemajuan ekonomi, keharmonian kaum dan kestabilan negara, rakyat haruslah bersatu hati, bertolak ansur, saling menghormati serta berpegang teguh kepada prinsip Rukun Negara,” titah baginda.
Dalam pada itu, baginda menyeru semua pihak agar menghayati setiap prinsip Rukun Negara dan menjadikannya amalan serta garis panduan hidup sebagai rakyat Malaysia.
“Malah sejak di bangku sekolah lagi, semua pelajar telah dididik untuk membaca ikrar Rukun Negara ini.
“Jangan kita lupa sejarah hitam negara, peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 yang tercetus apabila ada pihak yang bertindak keterlaluan menghina orang lain dan hilang rasa hormat kepada bangsa dan ketuanan negara ini.
“Peristiwa tersebut telah menggugat perpaduan rakyat dan menghancurkan kestabilan negara. Jangan sampai pisang berbuah dua kali,” titah baginda. – UTUSAN










