Tahap rasuah penguat kuasa semakin kronik, membimbangkan

Tahap rasuah penguat kuasa semakin kronik, membimbangkan

KEBANJIRAN warga asing dilihat peluang besar oleh segelintir penguat kuasa tidak berintegriti untuk mengaut rasuah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tahap korupsi anggota penguat kuasa selaku barisan hadapan keselamatan negara semakin kronik dan membimbangkan. 

Ini ekoran kebanjiran warga asing yang dilihat sebagai peluang besar terhadap segelintir penguat kuasa tidak berintegriti untuk mengaut rasuah.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, pendatang asing tanpa izin (PATI), pekerja dan pelajar asing di negara ini sering menjadi sasaran kepada penguat kuasa tidak kira sama ada  mempunyai permit kerja, visa pelajar apatah lagi ‘kosong’ tanpa permit dan berstatus PATI.

AHMAD KHUSAIRI YAHAYA

Katanya, perkara ini berlaku dalam proses melibatkan pendatang asing termasuk permohonan kuota pekerja asing, ejen yang mengaut keuntungan berlipat ganda serta membayar penguat kuasa bagi mempercepatkan proses kemasukan atau yang disenaraihitamkan.

“Rasuah juga berlaku di jalanan bagi mengelakkan tindakan diambil walaupun mempunyai dokumen lengkap selain menyalahgunakan visa pelajar untuk tujuan lain malah demi melindungi kegiatan tidak bermoral seperti rumah urut, pelacuran pelacuran serta Macau Scam yang kebanyakannya melibatkan pekerja asing.

“Selain itu, ada yang membayar rasuah bagi mendapatkan kerakyatan, sijil beranak selain terlibat dengan aktiviti perlombongan dan meneroka tanah secara haram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ahmad Khusairi, ini sebahagian daripada kesalahan-kesalahan yang berlaku melibatkan pendatang asing di negara ini yang secara tidak langsung mewujudkan ruang dan peluang kepada anggota-anggota penguat kuasa untuk mengutip rasuah secara kecil-kecilan, bulanan mahupun bersindiket.

Jelasnya, isu kebanjiran pendatang asing di negara ini tidak boleh dilihat sebagai perkara remeh kerana kesannya amat buruk apabila melibatkan masalah sosial, jenayah, kesihatan dan keselamatan negara.

“Perkara ini sungguh menyedihkan dan pahit untuk ditelan namun inilah yang sering dihadapi oleh golongan warga asing. Hakikat yang berlaku dan mendatangkan imej yang amat buruk kepada Malaysia. Slogan ‘Malaysia Boleh’ dijadikan sindiran sinis yang membawa pengertian yang cukup memedihkan yang mana semua perkara boleh diselesaikan dengan membayar rasuah. 

“Justeru itu, tidak hairan Malaysia menjadi antara tumpuan pekerja asing mendapatkan pekerjaan, pusat transit dadah di rantau Asia Tenggara, pusat penipuan dan pelaburan palsu antarabangsa, judi online, macau scam, pelacuran antarabangsa dan sebagainya,” katanya.

Tegas beliau, pendedahan SPRM menerusi Op Tropicana, Op Bolos KLIA 1 dan 2, Op Lancar dan beberapa siri operasi lain membuktikan isu ini serius dan memerlukan tindakan tegas agensi-agensi penguatkuasaan yang bertanggungjawab.

“Kita sering menolak dan menidakkan realiti serta mencari pelbagai alasan untuk menafikannya. Komen yang biasa kita dengar ‘ia adalah kejadian terpencil’ sudah tidak mampu dijadikan alasan menidakkan realiti bagaimana rakusnya anggota penguat kuasa dalam perkara ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya