Syahril perkenal Nasi Kandar Rahmah RM5 sempena Ramadan

Syahril perkenal Nasi Kandar Rahmah RM5 sempena Ramadan

SYAHRIL Huda Shamsudin menunjukkan Nasi Kandar Rahmah RM5 yang dijual di gerainya di Taman Nyior, Ampangan, Seremban. - FOTO/NOR SHAFAWATI YUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Niat untuk bersedekah mendorong seorang peniaga menyediakan menu nasi kandar berharga RM5 sepanjang bulan Ramadan di gerainya di Taman Nyior Ampangan di sini.

Syahril Huda Shamsudin, 44, berkata, idea itu tercetus apabila dia dan isteri, Anisa Non, 49, menerima permintaan dari pelanggan yang mahu makan nasi kandar tetapi pada harga yang lebih murah.

“Biasanya harga untuk set nasi kandar yang ada sayur dengan pilihan daging masak hitam atau ayam goreng berempah dijual pada harga RM8 ke atas.

“Tetapi sepanjang Ramadan ini, saya jual RM5 sahaja kerana niat untuk bersedekah dan memberi kepuasan kepada pelanggan kerana bukan semua orang mampu makan nasi kandar,” katanya ketika ditemui di gerainya di Taman Nyior, Ampangan di sini.

Menurut Syahril Huda, dia yang sudah berniaga lapan tahun mengakui tidak terlalu mengambil kira perihal keuntungan namun berasa senang hati dapat meringankan beban masyarakat dengan hidangan Menu Rahmah.

“Setiap hari saya akan menyediakan lebih 10 ekor ayam dan 10 kilogram daging untuk menu ini. Kami menyasarkan menjual 100 bungkus nasi sehari dengan air juga diberikan percuma. Walaupun murah kami tetap mengutamakan rasa dan bahan berkualiti,” katanya.

Jelas Syahril Huda, tidak dinafikan harga barang mentah yang semakin meningkat menyebabkan peniaga terpaksa berfikir dua kali untuk menyediakan Menu Rahmah.

“Sekarang ini harga ayam memang tak menentu, ia turun naik. Kalau hari ini saya beli RM8.90, esok boleh jadi RM9 dan naik lagi kepada RM9.30

“Keadaan itu menyebabkan peniaga susah nak buat pengiraan kos. Bagi saya mungkin itu faktor peniaga susah mahu tawarkan menu tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, Syahril Huda berkata, walaupun keuntungan kecil dia yakin dengan rezeki dan percaya pelanggan akan datang semula jika makanan disediakan sedap serta murah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya