SPRM lucut RM145.1 juta harta tahun lalu

SPRM lucut RM145.1 juta harta tahun lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya melucuthakkan harta berjumlah lebih RM145.1 juta tahun lalu hasil jenayah rasuah dan penyelewengan.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, jumlah itu dikumpulkan hasil kes siasatan pada tahun lalu dan tahun-tahun sebelumnya.

Beliau berkata, pihaknya mengakui bahawa ia bukanlah satu tugasan yang mudah untuk mengesan sumber perolehan harta-harta tersebut dan perlu disokong dengan analisis kewangan yang tepat bagi pembuktian di mahkamah.

“Melihat kepada perubahan trend jenayah rasuah dan salah guna kuasa sekarang, cabaran utama dihadapi adalah mengesan aset, harta atau hasil daripada aktiviti itu selepas ia diintegrasikan ke dalam sistem atau dunia sebenar,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SPRM dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Institut Akauntan Malaysia (MIA) di sini hari ini.

Katanya, pihaknya tidak seharusnya membiarkan penjenayah-penjenayah ini menikmati hasil aktiviti haram mereka sewenang-wenangnya.

Azam berkata, hasil daripada aktiviti ini perlu dikembalikan kepada negara melalui tindakan sitaan dan pelucuthakan harta.

Justeru, katanya, kerjasama dengan MIA penting dalam usaha memerangi rasuah kerana mereka merupakan ‘gatekeeper’ kepada maklumat yang sangat penting dalam operasi sesebuah organisasi.

“Akauntan memainkan peranan penting dalam hal ehwal kewangan bermula daripada proses merekod transaksi, menganalisis data lampau dan membuat jangkaan serta menafsir maklumat berkaitan kewangan kepada pemegang taruh,” katanya.

Katanya, SPRM mengiktiraf dan mengalu-alukan usaha MIA untuk memperjuangkan tadbir urus yang baik dan mengawal selia profesion perakaunan di bawah Akta Akauntan 1967.

Jelasnya lagi, peranan MIA sebagai pengawal selia dan pemaju profesion perakaunan adalah penting untuk membina dan menguruskan risiko global dan reputasi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya