PUTRAJAYA : Warga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diingatkan supaya tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan tugas Ketua Pesuruhjaya agensi itu yang baharu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, sebarang usaha mensabotaj kepimpinan baharu sama seperti menggugat organisasi sendiri.
“Tolong beri sokongan kepada Ketua Pesuruhjaya (KP) baharu. Biarlah beliau menjalankan tugas dengan lancar. Jangan sabotaj KP baharu kerana jika anda mensabotaj KP baharu, bermakna anda mensabotaj organisasi sendiri.
“Berikanlah sokongan penuh kepada Datuk Seri Ahmad Khusairi (Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM), dan dua lagi pengurusan tertinggi di sini kerana mereka akan meneruskan legasi kita ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena hari terakhir perkhidmatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM di sini hari ini.
Azam menegaskan dalam mana-mana organisasi, semua pihak perlu taat kepada pemimpin yang dilantik, walaupun bukan dalam kehendak atau pilihan peribadi.
“Itulah maksudnya, kita mesti beri kerjasama kepada kepimpinan yang baharu kerana ia amat penting.
“Bila datang kepimpinan baharu, ini yang saya tekankan berdasarkan pengalaman saya dahulu bersama pegawai BPR (Badan Pencegahan Rasuah) dan SPRM.
“Siapa pun yang menjadi ketua, kita akan tetap taat kerana kita berada di sini sebagai pegawai yang berkhidmat untuk rakyat,” ujarnya.
Sementara itu, ditanya mengenai perancangannya selepas bersara, Azam berkata beliau akan terus berkhidmat dan bekerja selagi tenaga dan khidmatnya diperlukan dalam apa jua kapasiti yang bersesuaian.
Azam dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 9 Mac 2020. Bekas hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Abdul Halim Aman dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu berkuat kuasa 13 Mei 2026. – UTUSAN









