SK Sena tampilkan kelainan, berdikir barat dalam bahasa Arab

SK Sena tampilkan kelainan, berdikir barat dalam bahasa Arab

KUMPULAN Gong D’Sena membawa kelainan dalam persembahan dikir barat dengan menyampaikan persembahan itu dalam empat bahasa termasuk Arab dan Thailand di SK Sena, Kangar, Perlis. - FOTO/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Persembahan dikir barat iaitu kesenian dan budaya yang cukup popular di Kelantan disampaikan dengan cara tersendiri dan cukup unik oleh sekumpulan murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sena di sini dalam bahasa Arab dan Thailand.

Meskipun kumpulan tersebut yang dikenali sebagai Gong D’Sena baru sahaja ditubuhkan kembali pada awal Mac lalu, namun ia mendapat pe­nyertaan yang memberangsangkan de­ngan seramai 22 hingga 30 orang murid sekolah berke­naan.

Bercakap kepada Utusan Ma­laysia, guru penyelaras kum­pulan itu, Maslina Izani Md Sapar, 44, berkata, kebiasa­annya kumpulan berkenaan akan menyampaikan persembahan dikir barat dengan menggunakan empat bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Arab, Bahasa Thailand dan Bahasa Inggeris.

Menurutnya, setiap murid akan didedahkan dengan aspek penguasaan bahasa terlebih dahulu dalam tempoh masa seminggu bagi tujuan menghafal dan sebutan yang betul.

“Kebanyakan ahli baharu ini tiada sebarang pengalaman dan disebabkan itu kami mengambil peranan bagi melatih mereka dengan sebaik­nya,” katanya.

Tambah Maslina Izani, penubuhan kumpulan dikir barat itu juga adalah sebagai menyahut seruan Kementerian Pendidikan yang berhasrat ingin mencari bakat-bakat baharu bagi persembahan dikir barat dalam kalangan murid sekolah.

“Pada 2018 kami mula mengambil inisiatif menubuhkan kumpulan ini namun di­sebabkan pandemik, aktiviti-aktiviti dikir barat ini terpaksa dihentikan buat sementara waktu.

“Dan pada awal Mac lalu, pihak sekolah telah mengambil inisiatif bagi menubuhkan semula kumpulan Gong D’Sena ini dengan penyertaan ahli-ahli baharu bagi menghidupkan semula kesenian dikir barat ini,” katanya.

Dalam pada itu, Maslina yang juga merupakan guru Bahasa Arab di SK Sena berkata, semua ahli kumpulan itu akan menjalani latihan sebanyak tiga kali dalam masa seminggu bagi memantapkan lagi persembahan mereka.

Tambahnya, bagi peranca­ngan masa hadapan, pihak sekolah bercadang untuk menambah dua bahasa lagi iaitu Mandarin dan Perancis dalam persembahan dikir barat kumpulan berkenaan.

“Sebelum ini, kumpulan ini sememangnya menerima banyak jemputan persembahan dan turut mengikuti pertandingan di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya