PETALING JAYA: Percaturan larian penuh disiplin menjadi pemisah buat pelari Sepanyol, Nicolas Molina dengan peserta lain, apabila dia muncul juara kategori lelaki 30 kilometer (km) Pro Sky dalam Penang Skyrace yang berlangsung di George Town, Sabtu lalu.
Dalam perlumbaan yang bermula di Youth Park itu, Molina mempamerkan taktikal tersusun dengan mengawal rentak sejak awal sebelum meningkatkan kepantasan di penghujung saingan bagi meninggalkan pencabar lain.
Saingan yang merupakan sebahagian daripada Merrell Skyrunner World Series itu menguji ketahanan pelari dengan laluan sejauh 30.31km serta pendakian setinggi 2,354 meter (m), merentasi denai licin dan rabung curam dalam keadaan cuaca lembap.
Molina menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 3 jam 34 minit 10 saat (s), hasil pengurusan tenaga, hidrasi dan nutrisi yang konsisten sepanjang perlumbaan.
Tempat kedua menjadi milik pelari Jepun, Shoma Otagiri dengan masa 3:41:58s, diikuti atlet Iceland, Kristjan Chapman yang menamatkan saingan di tempat ketiga dengan catatan 3:55:18s.
“Saya kekal sabar pada peringkat awal dan memastikan pengambilan air serta nutrisi terjaga. Apabila sudah menemui rentak, saya mula mengatur larian sendiri,” kata Molina.
Dalam kategori wanita, pelari Rusia, Svetlana Nurmukhametova mencuri tumpuan dengan pecutan dramatik di saat akhir untuk mencatat masa 4:09:37s, sekali gus menewaskan wakil Macedonia Utara, Elena Karanfiloska dengan kelebihan hanya tiga saat.

Karanfiloska yang mendahului hampir keseluruhan perlumbaan terpaksa berpuas hati di tempat kedua (4:09:40s), manakala atlet Belgium, Vanja Cnops melengkapkan podium dengan catatan 4:26:10s.
Cabaran pelari tempatan pula diketuai Daved Simpat yang menamatkan perlumbaan di tempat keenam keseluruhan (4:06:47s), manakala Ang Yee Mei muncul pelari wanita tempatan terbaik dengan masa 5:38:28s.
Edisi ketiga kejohanan itu berjaya menarik lebih 1,500 pelari dari lebih 30 negara, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai antara acara larian denai berprestij di pentas antarabangsa.
Pengarah perlumbaan, Ahmad Azri berkata, penyertaan berterusan dalam siri dunia tersebut mencerminkan peningkatan reputasi acara itu.
“Kami bangga melihat Pulau Pinang terus tersenarai dalam kalendar Merrell Skyrunner World Series. Sambutan pelari antarabangsa amat menggalakkan dan kami akan terus mempromosikan laluan larian Malaysia ke peringkat dunia,” katanya.-UTUSAN










