SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyifatkan tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadap kepimpinannya seolah-olah beliau “diceraikan talak tiga” oleh parti itu.
Menurutnya, situasi tersebut bukan berpunca daripadanya, sebaliknya keputusan dibuat oleh BN sendiri.
“Saya boleh senyum, insya-Allah boleh tidur. Kita berserah kepada Allah SWT. Semua yang berlaku ini pasti ada sebab dan telah diatur.
“Bukan saya cerai, UMNO yang ceraikan saya, nampak macam dicerai talak tiga,” katanya secara berseloroh ketika ditemui dalam sidang akhbar di kediaman rasmi Menteri Besar, di sini hari ini.
Terdahulu, kesemua 14 ADUN Barisan Nasional (BN) mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan beliau, sekali gus mencetuskan krisis politik di negeri ini.
Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri berkata, walaupun terkejut dengan perkembangan itu, beliau menerima keadaan berkenaan dengan hati terbuka.
“Saya kena terima apa juga keputusan selepas ini. Tidak ada masalah, saya masih boleh tidur,” katanya.
Beliau turut memaklumkan keluarganya berada dalam keadaan baik dan menerima situasi berkenaan walaupun pada awalnya terkejut.
Dalam pada itu, Aminuddin berkata, beliau akan terus melaksanakan tanggungjawab mentadbir negeri seperti biasa sementara menunggu keputusan lanjut daripada pucuk pimpinan PH.
Menurutnya, sebarang tindakan susulan akan ditentukan oleh kepimpinan tertinggi parti. – UTUSAN










