SEREMBAN: UMNO kini mempunyai majoriti mudah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan sekaligus melayakkan parti itu bergabung menubuhkan kerajaan negeri.
Ia berikutan kesediaan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) bekerjasama dengan UMNO yang telah mempunyai 14 kerusi DUN sekaligus menjadikan kerusi DUN UMNO dan PN kepada 19.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, UMNO menyambut baik kesediaan lima ADUN PN untuk bekerjasama demi menjamin kelangsungan pentadbiran kerajaan.
“Dalam situasi luar biasa ini, kepentingan rakyat Negeri Sembilan mengatasi segala kepentingan kepartian. Kami berjiwa besar untuk mengetepikan perbezaan ideologi demi memastikan sebuah kerajaan yang stabil dapat dibentuk dengan segera.
“Kami percaya bahawa penyatuan suara majotiti ADUN mampu memberikan naratif baharu yang lebih kukuh untuk memacu pembangunan negeri dan mempertahankan adat di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun tetap yakin kerajaan negeri yang dipimpinnya boleh berfungsi seperti biasa walaupun sokongan di DUN telah bertukar kepada minoriti.
Beliau mendakwa, ia sejajar dengan peruntukan undang-undang dan situasi yang sama pernah berlaku sebelum ini.
Beliau memberitahu, tiada keperluan supaya DUN Negeri Sembilan dibubarkan buat masa ini.
Katanya, persidangan DUN boleh ditangguhkan dalam tempoh enam bulan dan yakin dapat meneruskan pentadbiran negeri dalam tempoh yang ada dengan baik.
“Buat masa ni belum ada pandangan tersebut (bubar DUN) dan kita rasa bukan mudah dalam situasi yang berlaku pada hari ni. Kita boleh tangguh persidangan dalam tempoh enam bulan,” katanya. – UTUSAN










