PETALING JAYA: Malaysia terus mengorak langkah sebagai penganjur sukan bertaraf dunia apabila melancarkan Majlis 100 Hari menjelang Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik Asia Ke-58 2026, hari ini.
Pelancaran tersebut mencerminkan kesediaan negara dalam menganjurkan kejohanan antarabangsa berskala besar, sekali gus mengukuhkan reputasi Malaysia sebagai hab sukan di rantau ini.
Majlis yang berlangsung di Palace of the Golden Horses itu telah disempurnakan oleh Mohd Ali Mohd Rustam.
Sambutan awal terhadap kejohanan berkenaan amat menggalakkan apabila seramai 380 atlet dari 31 negara telah mengesahkan penyertaan menerusi pendaftaran awal, menjanjikan saingan sengit sepanjang kejohanan yang dijadual berlangsung dari 4 hingga 10 Ogos ini.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Raja Lokman Raja Ahmad berkata, kejohanan tersebut bukan sekadar platform persaingan elit, malah peluang penting untuk mengangkat imej Malaysia di pentas global.
“Sambutan awal yang diterima menunjukkan keyakinan komuniti antarabangsa terhadap keupayaan Malaysia menganjurkan kejohanan bertaraf dunia,” katanya.
Menurutnya, penganjuran kejohanan itu dijangka memberi impak besar kepada pembangunan sukan bina badan negara selain merancakkan sektor pelancongan sukan serta memperkukuh jaringan antarabangsa dalam industri sukan.-UTUSAN









