BILA Singapura mengatakan pihaknya akan mendedahkan ‘fail Albatross’, dokumen perjanjian keluar republik itu dari Malaysia, kita di sini seharusnya mengambil iktibar daripada peristiwa besar 58 tahun lalu itu.
Meskipun dokumen itu barangkali mahu menjelaskan peranan pemimpin Singapura waktu itu dalam mencadang dan mempermudahkan proses pemisahan, namun yang pasti ‘kehilangan Singapura dari bumi Tanah Melayu’ boleh disifatkan satu tragedi buat negara ini.
Apa lagi bila dokumen yang mahu didedahkan itu khabarnya merujuk Malaysia sebenarnya menjadi ‘albatross’ di tengkuk Singapura. Ia merujuk kepada peribahasa Inggeris, albatross round neck bermakna dibebani rasa bersalah yang kemudian menjadi penghalang kepada kejayaan.
Hakikatnya kenyataan Menteri Komunikasi dan Penerangan Singapura, Dr. Janil Puthcheary baru-baru ini berhubung persetujuan republik itu untuk mengubah status dan menerbitkan dokumen dalam fail ‘Albatross’ milik bekas Timbalan Perdana Menteri, mendiang Dr. Goh Keng Swee ibarat ‘luka lama berdarah kembali.’
Memikirkan sejarah awal Singapura, terdetik kita hari ini satu soalan atau persoalan: “Kalaulah Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman tidak mengalah apabila ‘disergah’ oleh Lee Kuan Yew pada 1965, pulau itu mungkin masih kepunyaan Malaysia hari ini. Buat apa serambil rumah diberikan kepada orang yang hanya menyewanya mentang-mentang si penyewanya garang dan pintar?
Menyesal kemudian tidak berguna. Kata budak-budak sekarang, move on. Ayuh! Mari kita semua balik susur sejarah. Kemudian kaji undang-undang negara ini.
Akhirnya rumuskan apa harus dibuat bagi rakyat negara ini agar masa depan anak cucu kita tidak kacau nanti. Agar kita dan mereka tidak tercari-cari atau teragak-agak tentang haluan dan kedudukan bangsa. Agar kita jangan seperti pantun bidalan:
Udangnya banyak di hilir,
Ikan diatur dengan galah,
Undang-undang memang mahir,
Tapi bicara kita kalah.
Dengan situasi politik tanah air yang masih cacamarba hari ini, terbaharu dengan kenyataan seorang pemimpin politik ‘bukan tebuk atap, tetapi atapnya bocor, pintunya terbuka dan dindingnya pecah’, soalnya kini bagaimana dapat kita menyesuai dan memulihkan identiti bangsa yang sudah kabur?
HILANG PEDRA BRANCA
Kita kehilangan Singapura satu hal, tetapi kita tidak mahu belajar daripadanya. Kira-kira empat dekad atau 43 tahun selepas itu kita hilang lagi hak Pulau Batu Puteh (Pedra Branca) kepada Singapura. Itu berlaku pada 2008 menerusi keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). Semakan dan pentafsiran penghakiman kes kedaulatannya pun ditarik balik oleh Kuala Lumpur beberapa hari sebelum bicara kes di Mahkamah Keadilan (ICJ), 11 Jun 2018.
Hal-hal berlaku depan mata hari ini dengan ‘politik koboi’ yang berentet serta soal berkaitan kehilangan budaya dan cara hidup yang dilarikan zaman, yang tolong ditiadakan oleh bangsa sendiri – masih tiada jawapan jelas baginya.
Lebih jauh lagi yang kita orang Melayu bimbangi adalah ketinggian darjat institusi yang dihormati kelak dipersoalkan apabila berkonflik dengan peraturan, nilai antirasuah atau nilai rasuah yang mencelakan.
Dengan adanya itu, jika rule of law atau nilainya atau keunggulan undang-undang telah dicabul mana-mana pihak, akhirnya rakyat akan gunakan kuasa undang-undang itu untuk membuat pagar atau tembok masing-masing. Masa itu sudah terlewat.
Apa rahsia Singapura? Gunakan rule of law iaitu penguatkuasaan undang-undang yang tegas. Mereka tidak pilih bulu. Menolak rasuah. Bila itu berlaku, semua peluang terbuka kepada semua pihak. Mereka jadikan Singapura sebagai pusat pelaburan kewangan macam kita di Labuan, tetapi tidak pula dibuat di Labuan. Apa gunanya kita mempunyai akta persisir kewangan Malaysia?
Kita tak mahu meniru benda yang baik? Sekarang Singapura tidak dapat kita ‘duduk sama tinggi, berdiri sama rendah’ dengan republik itu. Malu kita. Ya, duit dia sudah tiga kali ganda lebih duit kita.
RUGI DI LAUT CHINA SELATAN
Bukan sahaja Singapura, dengan Indonesia pun kita ketinggalan. Apabila Indonesia menamakan ibu negara baharunya Nusantara, mereka sebenarnya sedar dan tahu istilahnya cukup mega dan gah. Ertinya, ‘penguasaan’ Gugusan Kepulauan Melayu yang terdiri dari semua kepulauan di Indonesia sekarang, Semenanjung Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, Kalimantan, juga sebahagian Filipina selatan. Kawasan geopolitik Nusantara ini meliputi 620 juta penduduk dengan keluasan 11 negara 4.5 juta kilometer persegi. Populasi ratusan juta ini mewakili hampir 53 peratus gagasan ASEAN dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) per kapita nominal AS$4,250.
Pedra Branca? Biarkankah, lupakan sahaja. Jangan sampai kita rugi lagi di Laut China Selatan. Ada beratus-ratus terumbu di Laut China Selatan. Tuntutan Malaysia di situ dipercayai melibatkan kira-kira 11 kawasan maritim atau 20 terumbu. Lautan itu amat strategik. Menjadi laluan kapal-kapal dagang membawa muatan bernilai lebih AS$5 trilion setahun selain kaya dengan sumber marin, minyak, gas dan pelbagai galian lain.
Kerana itu pemimpin, khusus menteri kita perlu cekap bercakap, berhujah dan strategis dalam menangani isu Laut China Selatan.
Biarkanlah Singapura mendedahkan ‘fail Albatross’ nya. Masa itu telah berlalu.
Kita berpeganglah kepada amanat ini – bangsa yang ambil iktibar berpandukan sejarah lampau untuk dijadikan pedoman dan hala tuju, diyakini akan terus maju dan berdaya saing. – UTUSAN










