PETALING JAYA: Hari ini, pelakon, Farid Kamil akan memaklumkan kepada Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya, Subang Bestari dekat sini, individu yang dilantik bagi mewakili dirinya bagi Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam permohonan cerai oleh isterinya, Diana Danielle.
Dalam prosiding terdahulu, Diana selaku plaintif telah melantik rakan rapatnya sebagai wakil JKP manakala Farid ketika itu, belum melantik sesiapa.
Minggu lalu, Hakim Syarie, Shukran Yusof telah memerintahkan pasangan itu menjalani proses JKP selepas Farid enggan melafazkan cerai terhadap Diana.
Sekiranya JKP tidak dapat mencari penyelesaian terhadap kemelut tersebut atau telah mendapati telah berlaku shiqaq (perbalahan berpanjangan), Mahkamah Syariah akan memerintahkan pasangan untuk melalui proses hakam.
Melalui Hakam, wakil pasangan akan duduk dan akan membuat keputusan berhubung perkahwinan pasangan terlibat.
Diana memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya pada awal bulan ini atas alasan tiada lagi persefahaman dan berlaku shiqaq.

Difahamkan, pasangan itu tidak lagi tinggal sebumbung serta dihalang oleh Diana daripada memasuki rumah sewa dan berjumpa anak-anak mereka.
Peguam syarie mewakili Diana, Datuk Akberdin Abdul Kadir menjelaskan, anak guamnya yang menyewa kediaman tersebut mempunyai hak membenarkan atau menghalang sesiapa sahaja daripada memasuki rumah berkenaan.
Kelmarin, Farid meluahkan rasa rindu terhadap isteri dan dua anaknya dengan berkongsikan beberapa keping gambar mereka sekeluarga semasa menunaikan ibadah umrah, akhir bulan lalu, dalam Instagram.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan hasil perkahwinan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 10 dan Nur Aurora, 8 tahun. – UTUSAN










