Serba Dinamik, anak syarikat gagal dapat penggantungan kekal - Utusan Malaysia

Serba Dinamik, anak syarikat gagal dapat penggantungan kekal

SERBA DINAMIK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Serba Dinamik Holdings Bhd. (SDHB) dan tiga anak syarikatnya untuk menggantung secara kekal perintah penggulungan syarikat itu selepas gagal membayar hutang berjumlah hampir RM5 bilion.

Hakim Ahmad Murad Abdul Aziz memutuskan demikian selepas menolak permohonan keempat-empatnya untuk mendapatkan perintah penggantungan kekal sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Beliau berpuas hati SDHB dan tiga anak syarikatnya gagal membuktikan wujud keadaan istimewa yang membolehkan penggantungan kekal diberikan sementara rayuan didengar dan diputuskan.

Tiga anak syarikat itu ialah Serba Dinamik Group Bhd. (SDGB), Serba Dinamik Sdn. Bhd. (SDSB) and Serba Dinamik International Ltd (SDIL).

Jelas beliau, selepas mengambil kira keadaan kewangan SDHB, mahkamah berpendapat, pelikuidasi sementara perlu meneruskan proses demi kepentingan pemiutang majoriti bagi membolehkan sebarang isu dijawab di mahkamah, bukan meninggalkan sepenuhnya kepada pengarah-pengarah syarikat.

“Keputusan mahkamah menolak permohonan untuk penggantungan kekal tidak akan menyebabkan rayuan terhadap perintah penggulungan itu sesuatu yang remeh,” kata beliau ketika membacakan keputusan tersebut.

Mahkamah turut memerintahkan kos RM7,000 dibayar kepada pembiaya bersindiket, RM3,000 kepada pembiaya bilateral dan RM3,000 kepada Hong Leong Islamic Bank dalam tempoh 14 hari.

SDHB dan anak syarikatnya selaku pemohon diwakili peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar, LK Mak, Wong Ming Yen dan Sandra Tan.

Pada 10 Februari lalu, Hakim Ahmad Murad membenarkan permohonan SDHB dan tiga anak syarikatnya untuk menggantung sementara perintah penggulungan syarikat itu selepas gagal membayar hutang berjumlah hampir RM5 bilion.

Beliau turut membenarkan pelikuidasi sementara yang dilantik sebelum itu dikekalkan hingga permohonan penggantungan penuh diputuskan.

Pada 10 Januari lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan petisyen yang difailkan oleh enam institusi kewangan untuk menggulung SDHB dan tiga anak syarikatnya kerana gagal melunaskan hutang hampir RM5 bilion.

Enam institusi kewangan, selaku pempetisyen, ialah Standard Chartered Saadiq Bhd., HSBC Amanah Malaysia Bhd., AmBank Islamic Bhd, MIDF Amanah Investment Bank Bhd., United Overseas Bank (Malaysia) Bhd. dan Bank Islam Malaysia Bhd.

SDHB dan anak syarikatnya dalam permohonan untuk penggantungan sementara menyatakan kontrak mereka akan ditamatkan dan tidak boleh dipulihkan serta akan mengalami kerugian yang tidak boleh diperbaiki jika penggantungan tidak dibenarkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya