PETALING JAYA: Persengketaan antara Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat semakin memuncak dan berlarutan buat masa ini.
Segala-galanya bermula dengan ceramah yang disampaikan oleh Menteri Besar Kedah itu dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Parlimen Tambun, pada November tahun lalu.
Sebulan kemudian, Perdana Menteri memfailkan saman fitnah ke atas Sanusi atas dakwaan beliau menyalahgunakan kuasa dan kedudukannya, seorang pendusta, pembohong, mengkhianati mandat rakyat selain seorang penjenayah walaupun pengampunan penuh telah diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu.
Kata Anwar, akibat daripada kenyataan fitnah, reputasi dan kredibilitinya sebagai pemimpin Islam yang disegani telah tercalar teruk dalam menghadapi dakwaan keji dan tidak benar tersebut.
Beliau mendakwa kenyataan-kenyataan itu adalah tidak benar, keji serta berniat jahat dengan tujuan untuk menghasut orang ramai dan menimbulkan kebencian peribadi terhadapnya dan Pakatan Harapan (PH).
Namun, Sanusi menafikan ucapannya berbaur fitnah, sebaliknya mempertahankan ceramah yang disampaikannya.
Sejak itu, hubungan kedua-dua pemimpin negara itu tampak keruh, dengan masing-masing tidak sehaluan dalam pelbagai isu, terutama hubungan antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.
Ini boleh dilihat apabila sejak Januari tahun ini, Anwar mengadakan lawatan kerja di Kedah namun tidak melibatkan Sanusi mahupun wakil kerajaan negeri.
Sanusi kemudian menggesa Anwar meluluskan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim setelah projek itu tidak terlibat dalam Belanjawan 2023. Bagaimanapun, Anwar enggan berbuat demikian.
Minggu lalu, Sanusi meletakkan syarat kepada semua pemohon papan iklan (billboard) yang berhasrat memaparkan gambar dan slogan pemimpin negara mestilah memohon lesen iklan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan menyertakan gambar pemimpin dan slogan negeri.
“Contohnya billboard yang memaparkan gambar Perdana Menteri dengan slogan Malaysia Madani mestilah disertakan dengan gambar Menteri Besar Kedah dengan slogan ‘Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua’ dengan saiz dan tata letak sewajarnya,” katanya.
Tindakan itu seolah-olah mesej daripada Sanusi bahawa papan iklan memaparkan gambar Perdana Menteri dengan slogan Malaysia Madani tidak boleh dipaparkan di Kedah.
Terbaharu, Menteri Besar Kedah itu mendakwa Perdana Menteri melarangnya daripada menghadiri sebarang majlis dan program yang dianjurkan oleh kerajaan persekutuan termasuk Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (Lima) yang akan berlangsung di Langkawi, 23 hingga 27 Mei ini.
“Apa boleh buat? Kalau panas, jangan koyak,” dakwanya dengan sindiran yang sinis.
Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan mengapa keputusan itu diambil dan bagaimana mengetahui mengenai larangan berkenaan.
Pertelingkahan antara kedua-dua pemimpin negara itu dijangka berterusan dan semakin hangat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan pada pertengahan tahun ini. – UTUSAN









