ALOR SETAR: Selepas mendakwa dihalang daripada menghadiri majlis-majlis anjuran Kerajaan Persekutuan, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor sekali lagi memaklumkan bahawa majlis melibatkan anjuran pihaknya pula ‘diganggu’.
Kali ini dakwa beliau, kelulusan Dewan A, Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang, Selangor yang sepatutnya dijadikan tapak lokasi Majlis Berbuka Puasa Anak-Anak Kedah Di Perantauan Bersama Menteri Besar pada 9 April ini, ditarik balik.
“Kelulusan Dewan A, MAEPS, Serdang di bawah Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) pula ditarik balik.
“Kami nak buat majlis berbuka puasa saja pun malah dewan tersebut kerajaan negeri Kedah akan bayar sewa. Awat (kenapa) sampai jadi lagu (macam) tu? Kedah ini kan menghasilkan 43 peratus beras untuk negara?” soalnya melalui Facebook rasminya, awal pagi ini.
Semalam, Muhammad Sanusi mendakwa dihalang daripada menghadiri sebarang majlis Kerajaan Persekutuan termasuk Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ’23) pada Mei tahun ini ekoran keputusan yang dibuat Kabinet.
Mengulas lanjut Muhammad Sanusi berkata, majlis berbuka puasa itu bagaimanapun akan diteruskan seperti dirancang.
“Tak mengapa, tak gaduh (usah) kalut-kalut, kelam-kabut. Program akan diteruskan seperti dirancang. Lokasi terkini akan dimaklumkan segera, di Kuala Lumpur jugalah. Hangpa mai bagi ramai,” katanya.
Sementara itu, usaha mendapatkan komen lanjut daripada Muhammad Sanusi berhubung kedua-dua perkara itu sedang dilakukan Utusan Malaysia. –UTUSAN










