KUALA LUMPUR: Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Srikandi Bersatu), Datuk Seri Rina Harun menyindir pemimpin parti politik dengan menyebut ‘Raja Formula’ di dalam pantun ucapannya.
Beliau ketika itu mahu memberi teka teki kepada seluruh perwakilan yang hadir semasa Persidangan Agung Tahunan Srikandi Bersatu 2022, melalui serangkap pantun sebelum bertanya gerangan Raja Formula yang dimaksudkan.
“Pergi ke Melaka di Tanjung Bidara
Tternampak kelapa di dalam besen
Punyalah lama tunggu Raja Formula
Rupa-rupanya hanya mahu promote vending machine (promosi mesin layan diri).
“Tahu siapa Raja Formula? Tahu siapa? Saya tunggu punya tunggu juga, minyak bila mahu turun satu ringgit setengah? Siapa yang kata?,” soalnya dalam ucapan dasar Persidangan Agung Tahunan Bersatu di Menara PGRM, di sini hari ini.
Bekas ahli Parlimen Titiwangsa itu tidak menyebut secara khusus pemimpin yang dimaksudkan.
Bagaimanapun, ‘Raja Formula’ itu dipercayai merujuk kepada Timbalan Presiden PKR merangkap Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dilaporkan berkata, pihak mempertikaikan formulanya berhubung penawaran dan permintaan barangan dari Perikatan Nasional (PN) akan ‘terduduk’.
Ini berikutan kenyataannya yang menasihat pengguna supaya tidak membeli barangan dijual oleh peniaga yang melebihi daripada harga purata.
Pada Februari lalu, Rafizi melancarkan program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) sebagai langkah dalam memastikan mereka keluar daripada ‘kepompong’ kesusahan.
IPR adalah program bertujuan membantu golongan miskin tegar menjana pendapatan bulanan antara RM2,000 hingga RM2,500, dengan mengambil bahagian dalam satu daripada tiga sektor iaitu makanan, pertanian dan perkhidmatan.
Katanya, 52 peratus peserta mendaftar untuk program itu yang mana peserta akan menjual makanan berharga RM2 di mesin layan diri di lokasi strategik. –UTUSAN










