Rayuan Rosmah gugur hakim kes AMLA, LHDN ditolak

Rayuan Rosmah gugur hakim kes AMLA, LHDN ditolak

ROSMAH MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menolak rayuan Datin Seri Rosmah Mansor untuk menggugurkan Hakim Mohamed Zaini Mazlan daripada mendengar perbicaraan kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai yang dihadapinya.

Hakim Mohamed Zaini yang sepatutnya mendengar perbicaraan kes itu telah dinaikkan pangkat sebagai hakim Mahkamah Rayuan baru-baru ini.

Status rayuan itu dimuktamadkan selepas isteri bekas Perdana Menteri memfailkan notis pemberhentian pada 1 Mac lalu melalui Tetuan Geethan Ram yang mewakilinya serta menarik balik rayuan tersebut.

Perkara itu dinyatakan melalui surat makluman daripada Pejabat Pendaftaran Mahkamah Rayuan bertarikh 2 Mac lalu yang ditandatangani oleh Timbalan Pendaftar Muhammad Noor Firdaus Rosli dan diedarkan kepada pihak-pihak berkaitan.

Sehubungan itu, rayuan Rosmah untuk menyingkirkan Mohamed Zaini (kini Hakim Mahkamah Rayuan) disifatkan telah ditolak seperti yang telah diperuntukkan di bawah Aturan 73 Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994.

Aturan 73(2) menyatakan, apabila notis difailkan sebagaimana yang disebut, rayuan disifatkan telah ditolak oleh mahkamah.

Rayuan itu dijadualkan didengar oleh Mahkamah Rayuan pada 17 Mac ini.

Pada 22 November 2022, Mahkamah Rayuan menangguhkan rayuan dan mahukan pihak-pihak berhujah sama ada ia mempunyai bidang kuasa mendengar rayuan Rosmah untuk menyingkirkan hakim perbicaraan.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Hanipah Farikullah membangkitkan persoalan sama ada keputusan Hakim Mohamed Zaini yang enggan menarik diri, boleh dirayu dan tertakluk di bawah definisi Seksyen 3 dibaca bersama Seksyen 51 Akta Mahkamah Kehakiman (CoJA) 1964.

Seksyen 3 menyatakan `keputusan’ termasuklah penghakiman, hukuman atau perintah, tetapi tidak termasuk apa-apa ketetapan yang dibuat dalam perjalanan sesuatu perbicaraan atau pendengaran apa-apa kausa atau perkara yang tidak melupuskan hak pihak-pihak secara muktamad.

Isteri bekas Perdana Menteri merayu dua keputusan Hakim Mohamed Zaini pada 14 Disember 2021 dan 25 April 2022 yang menolak permohonan agar beliau menarik diri daripada mendengar kes pengubahan wang haram yang dihadapinya.

Bekas Wanita Pertama Malaysia itu bagaimanapun berjaya menggantung perbicaraan kes sementara menunggu rayuannya berhubung keputusan untuk menyingkirkan hakim itu, diputuskan.

Hakim Mohamed Zaini dalam keputusannya menyatakan, permohonan kali kedua Rosmah berdasarkan alasan yang sama dikemukakan dalam permohonan kali pertama.

“Perbezaannya, pemohon (Rosmah) kali kedua bersandarkan alasan bahawa saya telah mendengar kes lucut hak membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kes pindaan laporan audit 1MDB.

“Dalam kes lucut hak tersebut, saya telah menolak permohonan pihak pendakwaan untuk pelucutan hak aset-aset membabitkan harta pemohon sendiri manakala kes laporan audit langsung tidak ada kena mengena dengan dirinya,” jelas hakim berkenaan.

Rosmah berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750, serta lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya