Jho Low, Eric Tan `bank keluarga' Rosmah, Najib

Jho Low, Eric Tan `bank keluarga’ Rosmah, Najib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Wanita warga Singapura, Shabnam Naraindas Daswani yang sebelum ini disaman oleh syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu bahawa dia beranggapan bahawa pembelian barangan mewah termasuk barang kemas oleh Datin Seri Rosmah Mansor dibayar daripada sumber kekayaan peribadi.

Menurut Shabnam yang turut dikenali sebagai Natasha Mirpuri, dia beranggapan sedemikian disebabkan latar belakang keluarga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Selain itu, wanita itu juga memberitahu, pada saat dia mengenali Rosmah, dia beranggapan bahawa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dan sekutunya, Eric Tan Kim Loong adalah `bank keluarga’ Rosmah dan Najib kerana dua lelaki berkenaan sering membantu menguruskan pembayaran pembelian barangan mewah yang telah dipilih oleh Rosmah.

Laporan akhbar sebelum ini menyatakan, Shabnam merupakan seorang pereka fesyen dari Singapura dan se­ring membantu Rosmah dalam mendapatkan barang kemas dan fesyen berkualiti tinggi.

Kedua-dua mereka sebelum ini dinamakan sebagai defendan dalam kes saman oleh syarikat-syarikat berkenaan yang menuntut kembali AS$346 juta didakwa diseleweng untuk pembelian barangan mewah namun pada 9 April lalu, 1MDB menggugurkan saman tersebut terhadap wanita Singapura itu.

“Pemahaman saya ketika itu, Jho Low dan Eric Tan adalah `family bankers’ bagi Datin (Rosmah) dan suaminya dan mereka akan menguruskan bagi pembayaran barangan mewah yang dipilih Datin. Sistem pembayaran ini telah pun wujud ketika itu.

“Malah, ramai vendor telah pun berurusan secara terus dengan Jho Low sebelum saya mula menemani Datin dalam lawatan membeli-belahnya. Saya menganggap perkara ini sebagai sesuatu yang normal.

“Selepas itu, saya secara beransur-ansur mula terlibat dalam urusan antara vendor dan Eric Tan untuk mengatur pembayaran barangan mewah yang dipilih Datin. Tambahan pula, saya sering berada di rumah beliau untuk membuat pakaian (jadi) lebih mudah bagi Datin memaklumkan kepada saya tentang pilihannya agar saya boleh menyerahkan invois kepada Eric Tan untuk diuruskan pembayarannya,”katanya. 

Shabnam turut menyatakan penafian Rosmah berhubung pembelian barangan mewah itu dan barangan-barang tersebut adalah hadiah hanyalah satu penafian kosong (bare denial) kerana pereka fesyen itu sendiri yang membantu Rosmah mendapatkan barangan itu dengan menyerahkan invois pembelian kepada Eric Tan untuk pembayaran dan mengetahui bahawa Rosmah menerima barangan-barangan itu.

Wanita itu berkata demikian dalam afidavit sokongan terhadap permohonan Ketua Setiausaha Perbendaharaan yang juga Pengerusi 1MDB, Datuk Johan Mahmood Merican untuk mendapatkan perintah injunksi Mareva bagi menghalang Rosmah mengeluarkan atau melupuskan mana-mana asetnya bernilai lebih AS$346 juta (RM1.6 bilion).

Injunksi Mareva ialah perintah sementara yang menghalang defendan daripada melupuskan aset sehingga keputusan dicapai dalam kes antara plaintif dan defendan.

Permohonan injunksi MAreva yang difailkan pada 10 Jun 2024 akan didengar di hadpaan Hakim Mahkamah Tinggi, Wan Muhammad Amin Wan Yahya pada 31 Julai ini.

Menurut dokumen yang diperolehi media, Shabnam memberitahu, dia dan Rosmah mula berkenalan ketika bekas Wanita PErtama Malaysia itu butik beliau di Scotts Shopping Centre, Singapura dan sejak itu pereka fesyen itu kerap berkunjung ke rumah Rosmah di Taman Duta, di sini. 

Kali terakhir mereka bertemu adalah pada 2023 ketika Rosmah melawat anak perempuannya, Nooryana Najwa yang ketika itu akan bersalin anak ketiga.

Selain itu, Shabnam tidak pernah mengetahui sumber wang yang digunakan untuk membayar segala barangan mewah yang dipilih oleh Rosmah.

“Pada ketika itu, saya percaya bahawa Datin (Rosmah) mempunyai sumber kewangan yang besar memandangkan bapa mentuanya adalah bekas Perdana Menteri Malaysia dan anaknya (Riza Aziz) terlibat dalam industri hiburan dan sering berurusan dengan artis Hollywood.

“Anak perempuan Datin, Gina (Nooryana Najwa) juga berkahwin dan menjadi menantu sebuah keluarga kaya di Kazakhstan yang juga mempunyai hubungan dengan bekas Perdana Menteri negara itu.

“Keluarga Datin mempunyai rumah di London dan New York. Saya pernah melawat rumahnya di New York dan sangat kagum melihat kemegahan rumah tersebut. Saya menjangkakan Datin dan Datuk Seri (Najib Razak) akan mematuhi undang-undang di negara mereka memandangkan mereka sangat dihormati oleh rakyat Malaysia,” ujar Shabnam.

Pada 10 Mei lalu, 1MDB dan lima anak syarikatnya serta lima entiti pesisir luar telah memfailkan saman terhadap Rosmah dan menuntut ganti rugi berjumlah AS$346 juta.

Menurut writ yang difailkan, kesemua plaintif mendakwa kesemua barangan mewah tersebut telah diperoleh Rosmah bukan dengan menggunakan wangnya sendiri tetapi dengan menggunakan dana yang diselewang daripada 1MDB dan anak-anak syarikatnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN