KUALA LUMPUR: Masih ramai Ahli Parlimen yang merokok di bangunan Parlimen meskipun umum mengetahui ia adalah premis larangan merokok.
Isu itu ditimbulkan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang menyifatkannya tidak seharusnya berlaku kerana ia memperlihat sikap ahli Parlimen yang degil tidak mempedulikan larangan tersebut.
“Saya nak minta perhatian Timbalan Menteri Kesihatan. Kita jangan pergi terlalu jauh, kita tumpu pada bangunan Parlimen ini. Ramai yang masih merokok sungguh pun bangunan Parlimen adalah kawasan larangan rokok. Saya lihat di bilik Whip, ramai yang merokok dalam bilik Whip.
“Saya rasa kita harus tunjuk contoh yang baik. Kita adalah wakil rakyat. Kalau nak merokok, pergi ke luar sana (di kawasan dibenarkan merokok),” katanya ketika mengajukan soalan tambahan kepada Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni di Dewan Rakyat, hari ini. – UTUSAN










