Projek RTB: JPS cadang guna kaedah reka dan bina - Utusan Malaysia

Projek RTB: JPS cadang guna kaedah reka dan bina

MD. Nasir Md. Noh (kiri) menyerahkan replika cek Dana Kebajikan IEM Terengganu kepada Pengerusi IEM Terengganu, Ir. Mazlan Che Ku Ahmad pada Majlis Jamuan Makan Malam IEM Terengganu 2023 di Kuala Terengganu, malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bercadang menggunakan kaedah reka dan bina dalam projek rancangan tebatan banjir (RTB) di lokasi yang telah dikenal pasti di seluruh negara termasuk di Johor.

Ketua Pengarah JPS. Datuk Dr. Md. Nasir Md. Noh berkata, kaedah tersebut disifatkan lebih cepat dan berkesan berbanding secara konvensional dalam pembinaan projek RTB dalam usaha mengurangkan impak kejadian banjir.

Menurutnya, kos pembinaan projek tersebut juga dapat dikurangkan menerusi keadaan reka dan bina.

“Memang sudah ada di dalam senarai (projek RTB), tinggal lagi hendak direalisasikan kaedah bagaimana, sama ada kaedah konvensional atau reka dan bina.

“Apabila Perdana Menteri maklumkan hendak cepat, maksudnya kalau hendak cepat kita perlu guna kaedah reka dan bina,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Jamuan Makan Malam Institut Jurutera Malaysia (IEM) cawangan Terengganu 2023, di sini, malam tadi.

Semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya semua projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) bernilai RM600 juta ke atas diluluskan dan segera dilaksanakan mulai Jun ini.

Perdana Menteri menegaskan, keputusan kerajaan menyegerakan projek tersebut bagi mengelakkan bencana banjir berulang, sekali gus terus menjejaskan kehidupan rakyat dan memusnahkan harta benda.

Katanya, proses tender projek tebatan banjir berkenaan harus disegerakan dan perlu beroperasi segera, memandangkan isu banjir di Johor terutamanya, merupakan sesuatu isu yang berulang.

Dalam pada itu, Md. Nasir memberitahu, JPS juga telah melaksanakan konsep pengurusan banjir lebih efektif dengan mengaplikasikan pendekatan ‘nature based solutions’ (NBS) di tiga projek RTB di Terengganu.

Jelasnya, tiga RTB terlibat terletak di Kemasik, Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Kemaman dan Bukit Payong di Marang.

Katanya, reka bentuk ketiga-tiga projek RTB itu menggunakan kawasan dataran banjir semula jadi sebagai storan air banjir bagi melindungi kawasan bandar dan perkampungan.

“Dataran banjir dan rizab sungai berfungsi sebagai kawasan takungan serta laluan air apabila hujan lebat dan banjir besar berlaku.

“Oleh itu, amat penting untuk pihak kerajaan mewartakan dataran banjir dan rizab sungai supaya tidak dibangunkan untuk tujuan lain,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya