PRN: UMNO mahu guna lambang dacing  - Utusan Malaysia

PRN: UMNO mahu guna lambang dacing 

AHMAD Zahid Hamidi beramah mesra dengan Ahmad Said selepas berbuka puasa pada Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Al-Ansar, Kem Sri Pantai, Seberang Takir, Kuala Nerus, malam ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI

KUALA TERENGGANU: UMNO mengambil ketetapan untuk menggunakan lambang dacing di enam negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti-parti lain dalam Kerajaan Perpaduan pula akan menggunakan lambang parti masing-masing.

Menurutnya, walaupun menggunakan lambang yang berlainan, namun parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan akan menjalinkan kerjasama yang baik bagi menghadapi PRN nanti.

“Kita telah mengambil keputusan bahawa UMNO tetap akan menggunakan lambang dacing, lambang Barisan Nasional (BN), manakala parti-parti lain di dalam Kerajaan Perpaduan pula guna lambang masing-masing.

“Namun, kita  bergerak sebagai satu jentera, kebersamaan  antara parti-parti dalam jajahan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Al-Ansar, Kem Sri Pantai, Seberang Takir di sini, malam ini.

Selain itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, perbincangan mengenai pengagihan kerusi secara formal pula belum dilakukan lagi.

“Agihan kerusi itu akan dilakukan tidak lama lagi untuk persediaan awal kerana PRN semakin hampir,” ujarnya.

Sebelum ini, enam negeri sepakat membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada dua minggu terakhir Jun depan bagi memberi laluan kepada PRN.

Enam negeri tersebut ialah Selangor,  Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah dan Terengganu. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN