‘Dacing’ senjata kerajaan hadapi PRN

‘Dacing’ senjata kerajaan hadapi PRN

Barisan Nasional (BN) akan bertanding menggunakan lambang dacing pada pilhan raya negeri (PRN) akan datang. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penggunaan lambang Barisan Nasional (BN) ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) dilihat sebagai `senjata’ untuk parti itu menarik undi orang Melayu terutama di kawasan-kawasan luar bandar.

Penganalisis politik, Prof. Dr. Azmi Hassan berkata, lambing ‘dacing’ masih mempunyai signifikan untuk memasuki pilihan raya berbanding sekiranya UMNO bersama sekutu menggunakan lambang lain.

Katanya, lambang BN masih dikenali oleh sekumpulan besar pengundi terutama golongan Melayu sekali gus memudahkan jentera UMNO memasuki kawasan-kawasan luar bandar yang kini banyak dikuasai oleh Pas dan Perikatan Nasional (PN).

“Penggunaan logo asli BN adalah sesuatu yang logik kerana strateginya mereka bukan sebahagian daripada PH dan Kerajaan Perpaduan juga tidak mempunyai simbol tersendiri kerana ia bukan sebuah organisasi.

“Jenama BN memang dikenali walaupun dalam keadaan paling lemah, jadi penggunaan lambang dacing itu masih keputusan strategik kerana di negeri bawah Pas, lambang itu mampu memberi tarikan pengundi berbanding PH,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan semua calon BN akan menggunakan lambang dacing bagi PRN di enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, semua parti di dalam kerajaan akan menggunakan lambang masing-masing tetapi masih bergerak sebagai satu jentera.
Azmi berkata, situasi tersebut membolehkan parti kerajaan perpaduan menarik undi orang Melayu sekiranya kekal tidak menggunakan lambang PH di PRN, memandangkan masih terdapat tanggapan buruk terhadap DAP.

“Jadi tanggungjawab untuk menarik pengundi Melayu diberikan kepada BN dan UMNO bukan sahaja di dua negeri pantai timur serta Kedah tetapi tiga negeri lain. Ini dilihat sebagai kekuatan BN jika ingin dibandingkan parti-parti lain dalam kerajaan.

“Saya rasa UMNO lebih baik sekarang berbanding Pilihan Raya Umum Ke-15, kerana Presiden dilihat dapat mengawal parti selepas hampir semua dalam jawatan-jawatan penting adalah orang beliau. Itu UMNO perlukan bagi memberi persepsi bahawa mereka mampu memperjuangkan kehendak orang Melayu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×