PETALING JAYA: Kerjasama Barisan Nasional (BN) Pakatan Harapan (PH) dilihat mampu menterjemahkan kepada kemenangan di tiga negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Sementara Kedah, Kelantan dan Terengganu pula dijangka terus dikuasai oleh Perikatan Nasional (PN) sama seperti keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, geostrategis, Prof. Dr. Azmi Hassan menjelaskan, sejumlah besar pengundi bukan Melayu di Selangor dan Pulau Pinang didapati masih memihak kepada PH manakala pengundi Melayu di Negeri Sembilan masih menyokong BN.
Namun katanya, kedua-duanya BN dan PH memerlukan satu sama lain meskipun pengundi Melayu menolak mereka dan menjadikan PN sebagai pilihan alternatif.
“Kedua-dua BN dan PH perlu bekerjasama kerana satu faktor penting adalah menarik undi Melayu atau menyekat kemaraan PN dan Pas di Negeri Sembilan dan Selangor.
“Jika tiada kerjasama, PH yang terdiri daripada PKR dan Amanah tidak mampu menarik undi Melayu, kalau dibandingkan dengan BN, UMNO lebih bertenaga untuk menarik undi Melayu walaupun dalam keadaan sekarang ini,” katanya ketika dihubungi semalam.
Bagaimanapun katanya, peluang BN dan PH akan menjadi lebih cerah dalam PRN apabila UMNO dikuatkan dengan barisan kepimpinan tertinggi baharu parti dalam pemilihan bulan depan.
“Peluang untuk mengembalikan sokongan Melayu dalam PRN dijangka bertambah baik selepas pemilihan kerana isu seperti wujudnya kumpulan-kumpulan tertentu, ada kumpulan yang dikatakan menyokong Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan anti beliau dan sebagainya akan berakhir. Mereka yang terpilih akan mengisi kekosongan jawatan penting terutama Naib Presiden dan Majlis Tertinggi (MT),” katanya.
Justeru katanya, keputusan pemilihan UMNO kemungkinan besar akan mempengaruhi pengundi Melayu dalam PRN ini.
“Jika ini berlaku (tiada isu kem), sokongan Melayu pada UMNO akan kembali, kerana dalam keadaan sekarang, UMNO lebih mampu menarik undi Melayu berbanding PKR dan Amanah, sebab itu kerjasama perlu dilaksanakan. Kemungkinan Kedah, Kelantan dan Terengganu kekal status quo, Pas akan mencapai kemenangan dan terus memerintah.
“Pengundi Pulau Pinang tidak lari banyak sokongan terhadap DAP, sama juga dengan Selangor dan Negeri Sembilan yang kemungkinan besar kekal dengan PH, namun ia bergantung kepada kerjasama dan kekuatan UMNO selepas pemilihan,” katanya. – UTUSAN










