Polis tahan tiga lelaki terlibat samun wanita - Utusan Malaysia

Polis tahan tiga lelaki terlibat samun wanita

S. VIJAYA RAO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Tiga lelaki ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam kejadian samun seorang wanita dekat tepi jalan dekat Pekan Kapar pada 16 Februari lalu.

Ketiga-tiga suspek berusia 36 hingga 43 tahun itu ditahan dalam operasi berasingan pada 1 dan 2 Mac di sekitar Taman Sentosa, di sini.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, operasi tangkapan dilakukan oleh pasukan Cawangan Siasatan Khas D9 Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara selepas menerima laporan 8.20 malam pada hari kejadian.

“Bertindak atas Operasi (Op) Cantas atau Op Kesan, pada 1 Mac kira-kira pukul 8.20 malam, polis menangkap dua lelaki di Jalan Dato Dagang kerana terlibat dalam kejadian samun tersebut.

“Siasatan polis mendapati, suspek mendedahkan penglibatan seorang lagi rakannya yang terlibat dalam kegiatan samun tersebut dan berjaya memberkas rakan sejenayah mereka berusia 46 tahun di Jalan Dato Yusuf Shahbudin kira-kira pukul 12.05 tengah malam pada 2 Mac,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah, dalam operasi tersebut polis turut menemukan sebilah parang dan sebuah kenderaan jenis Honda City berwarna perak yang digunakan suspek dalam kegiatan terbabit serta kunci kereta milik mangsa.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan seorang penyelia pasar raya mini menempuh detik menakutkan apabila disamun lelaki berparang dan berpelitup muka yang menaiki sebuah kereta di Jalan Mokhtar, Kapar di sini, semalam.

Kejadian kira-kira pukul 7 petang itu berlaku ketika wanita berusia 50-an berkenaan sedang menuju ke keretanya diletakkan di tepi jalan tersebut.

Jelas S. Vijaya, semakan polis turut mendapati kenderaan tersebut menggunakan nombor pendaftaran palsu dan dipercayai dicuri selepas dikesan pernah dilaporkan hilang sebelum ini.

“Ujian saringan awal dadah yang dilakukan mendapati salah seorang daripada suspek positif dadah dan semakan rekod lampau pula mendapati suspek pertama mempunyai 15 rekod berkaitan jenayah dan satu dadah.

“Suspek kedua dan ketiga pula masing-masing mempunyai tiga dan 15 rekod jenayah lampau. Suspek juga dipercayai terlibat dalam kejadian samun tepi jalan dan siri pecah kedai besi buruk sekitar kawasan Lembah Klang,” jelasnya.

Katanya lagi, kesemua suspek kin ditahan reman selama enam hari sehingga 7 Mac ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkumpula tanpa senjata api. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.