PN patut fokus pada tugas, bukan bermimpi

PN patut fokus pada tugas, bukan bermimpi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) perlu berhenti bermimpi untuk menjatuhkan kerajaan sebaliknya menjalankan tanggungjawab sebagai pembangkang bagi memastikan wujudnya proses semak dan imbang yang baik.

Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Lee Chean Chung berkata, PN lebih memberi fokus kepada ‘mimpi’ menjadi kerajaan berbanding mengemukakan dasar dan kritikan yang konstruktif dalam membina negara.

Menurut beliau, sepatutnya tugas kerajaan melaksanakan dan pembangkang perlu memantau tetapi ketika ini PN dilihat seperti hanya menunggu masa menjadi kerajaan baru ingin melaksanakan tanggungjawab.

“Memang tidak salah pun jika PN ingin menjadi kerajan, itu memang cita-cita setiap pembangkang tetapi kalau fikir tentang itu setiap hari tanpa ada apa-apa tawaran lain atau membuat kerja, ia akan mengecewakan rakyat sahaja.

“Ini juga akan menghampakan kerajaan untuk membina satu insitutsi semak dan imbang yang lebih sihat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berpandangan usaha menumbangkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ‘dalam masa terdekat’ sesuatu yang dibolehkan kerana negara mengamalkan sistem demokrasi berperlembagaan.

Malah, bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan turut menyifatkan ramalan kerajaan Persekutuan di bawah Anwar itu akan tumbang tidak lama lagi bukan sesuatu yang pelik kerana situasi politik sekarang dianggap tidak stabil.

Sementara itu, Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd. Sany Hamzan daripada Parti Amanah Negara (Amanah) menggesa pihak pembangkang untuk berhenti bermain politik dan fokus pada pembela Nasib serta membantu rakyat.

“Kami ahli parlimen daripada kerajaan perpaduan ini akan mempertahankan kerajaan daripada cubaan untuk menjatuhkan kerajaan.

 “Kerajaan hari ini adalah kerajaan yang diberi mandat dan kepercayaan oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 dan kerajaan ini juga adalah kerajaan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong,” katanya.

Tambahnya, mewakili pihak kerajaan, satu laporan polis akan dibuat esok Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 3 petang.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN