KUALA LUMPUR: Kerangka Malaysia Madani akan dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas khas), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, kerangka tersebut dibina berdasarkan kepada analisis manifesto setiap parti gabungan Kerajaan Perpaduan sewaktu program pemukiman anggota Jemaah Menteri pada 15 Januari lalu.
“Matlamat Malaysia Madani adalah menjadi sebuah negara bangsa Malaysia Madani yang tertegak berteraskan prinsip kelestarian, ihsan, hormat menghormati, berinovasi, kesejahteraan dan kepercayaan menuju Malaysia baharu yang megah di persada dunia.
“Empat teras strategik Malaysia Madani adalah ReformasI Ekonomi dan Infrastruktur Rakyat, Reformasi Sosial dan Keselamatan, Reformasi Institusi Demokrasi dan Perundangan dan Reformasi Perkhidmatan Awam. Kerangka Malaysia Madani dijangka akan dilancarkan oleh Perdana Menteri sedikit masa lagi,” katanya dalam jawapan bertulis.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Dr. Radzi Jidin (PN-Putrajaya) yang meminta Perdana Menteri menyatakan sama ada kerajaan akan melaksanakan janji-janji dalam manifesto Pakatan Harapan dan Barisan Nasional memandangkan kerajaan pada hari ini adalah kerajaan gabungan kedua-dua parti. – UTUSAN