‘Jangan simbah minyak pada api sedang marak’

‘Jangan simbah minyak pada api sedang marak’

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: ‘Jangan me­nyim­bah minyak pada api yang sedang marak’.

Demikian peringatan tegas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataan ringkas dipercayai merujuk kepada kenyataan beberapa pemimpin DAP, susulan keputusan Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur semalam yang memutuskan Titah Adendum yang membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani tahanan di rumah sebagai tidak sah.

Terdahulu, beberapa pemim­pin UMNO bukan sahaja me­lahirkan kekecewaan terhadap keputusan mahkamah, bahkan kesal dengan sikap pemimpin DAP yang seolah-olah meraikan kegembiraan dengan keputusan tersebut.

Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin memuat naik hantaran di Facebook dengan menyatakan ‘satu lagi sebab untuk me­raikan hujung tahun ini’ berserta berita mengenai Najib.

Ia mengundang reaksi Ke­tua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh yang mahu parti itu menarik balik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan dengan lebih baik menjadi pembangkang bermaruah daripada dihina puak-puak bebal.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd. Razlan Muhammad Rafii turut menyifatkan kenyataan Bee Yin sebagai kurang ajar dan menyeru orang Melayu bersatu melawan kezaliman dan hasutan.

Mahkamah Tinggi memutuskan Titah Adendum bertarikh 29 Januari 2024 yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah adalah tidak sah.

Hakim Alice Loke Yee Ching memutuskan Yang di-Pertuan Agong tidak boleh membuat keputusan pengampunan secara bersendirian dan pelaksa­naan prerogatif pengampunan mesti dibuat melalui Mesyuarat Lembaga Pengampunan selaras Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah turut memutuskan Titah Adendum itu tidak pernah dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-wi­layah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya Kali Ke-61.

Susulan keputusan itu, Najib akan terus menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sehingga tamat tempoh hukumannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN