BANGI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendengar khutbah ketika solat Jumaat tentang ‘ekstremis agama’ yang disampaikan oleh Pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Dr. Hamidi Ishak.
Anwar menunaikan solat Jumaat di Masjid Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang turut dihadiri oleh 3,000 lebih jemaah, terdiri daripada mahasiswa dan kakitangan universiti tersebut serta orang-orang awam.
Hamidi yang juga imam solat Jumaat itu berkata, sikap ekstrem tidak wajar dalam beragama dan diingatkan oleh Rasulullah SAW yang mana ia dianggap sebagai faktor kebinasaan umat dan sangat dicela Islam.
Kata beliau, seseorang yang mengamalkan sikap ekstrem di dalam diri iaitu sikap akan menjadi faktor kepada ekstrem dalam pengamalan.
“Umat Islam hendaklah mengetahui bahawa Islam adalah agama yang mudah, sederhana dan praktikal sesuai dengan fitrah kejadian manusia yang dapat dipraktikkan dalam semua situasi, masa serta tempat.
“Umat Islam hendaklah menyedari sikap ekstrem dan radikal dalam beragama hanya akan menjadi penyebab munculnya fitnah, kemudaratan dan kehancuran umat. Jauhi sikap prejudis, tidak boleh bertolak-ansur, memaksa orang lain dengan satu pandangan, berlebih-lebihan serta bersikap kasar.
“Umat Islam hendaklah mengisafi bahawa ilmu pengetahuan adalah kunci dalam menyelami keindahan serta kesempurnaan beragama bahkan memperoleh kejayaan di dunia dan akhirat,” katanya ketika menyampaikan khutbah.
Sementara itu, Anwar turut disertai oleh Ahli Parlimen Bangu, Syahreyzan Johan; Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Ekhwan Toriman dan Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Prof. Emeritus Datuk Dr Mohamad Abd Razak.
Antara lain yang hadir sama adalah Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Abdul Razak Jaafar; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Datuk Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan KPT, Dr. Mohd Zabri Yusoff dan pegawai-pegawai lain.
Sebelum itu, beliau menikmati juadah ‘Menu Rahmah’ bersama mahasiswa-mahasiswa di kafeteria Randau Rasa yang berada di dalam pekarangan universiti tersebut.
Menu tersebut merupakan nasi putih, sayur-sayuran, buah-buahan, ikan keli masak belado dan beberapa hidangan lain yang disajikan oleh peniaga-peniaga di kafeteria berkenaan. – UTUSAN










