PETALING JAYA: Prospek hartanah bukan sahaja boleh jatuh 25 peratus malah berdepan masalah lambakan kediaman tidak terjual atau overhang jika isu permohonan pinjaman institusi kewangan yang merosot sejak lima bulan lalu kerana kos pembiayaan lebih tinggi tidak ditangani segera.
Berdasarkan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), data awalan suku ketiga tahun 2022 menyaksikan rumah siap dibina tidak terjual adalah 76 peratus berharga RM300,000 dan ke atas manakala 24 peratus lagi membabitkan nilai RM300,000 dan ke bawah.
Sebelum ini, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat memaklumkan, jumlah lambakan rumah tidak terjual tertinggi tertumpu kepada kediaman berharga RM300,000 ke atas.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Presiden Pertubuhan Profesional Tanah Malaysia (Pertama), Prof Dr. Ismail Omar berkata, jatuh atau naik industri hartanah didorong penawaran dan permintaan dengan kira-kira 90 peratus pembeli bergantung kepada pinjaman untuk membeli kediaman.
Justeru, kata beliau, jika permohonan pinjaman institusi kewangan masih merosot ekoran kebimbangan orang ramai melakukan pembiayaan, ia boleh mencetuskan masalah overhang seperti kali terakhir berlaku ketika Perintah Kawasan Pergerakan (PKP) pada 2020.
Ketika itu menyaksikan kejatuhan industri hartanah sebanyak 25 peratus sekali gus menjejaskan rantaian ekonomi negara.
“Saya berpandangan isu overhang tertumpu kepada rumah mewah manakala kediaman mampu milik tidak berdepan masalah kerana pembeli masih mampu membayar pinjaman bulanan walaupun berlaku kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR).
“Jika kerajaan tidak tangani kemerosotan permohonan pinjaman kediaman, maka boleh berlaku masalah lambakan rumah tidak terjual dan mempengaruhi keseluruhan prestasi ekonomi. Misalnya berlaku lambakan kediaman, nasib pemaju pun sama terjejas kerana mereka terpaksa menanggung rugi manakala gaji para pekerja mereka sendiri turut terkesan,” katanya yang juga Naib Canselor Universiti Geomatika Malaysia.
Perangkaan Bank Negara melaporkan permohonan pinjaman daripada institusi kewangan merosot sejak lima bulan lalu didorong kos pembiayaan lebih tinggi dan kebimbangan ketidaktentuan ekonomi negara tahun ini.
Menerusi laporan itu, nilai permohonan pinjaman keseluruhan untuk pelbagai pembiayaan merosot kepada RM85 bilion pada Januari tahun ini, berbanding hampir RM120 bilion pada September lalu, penurunan hampir 30 peratus.
Permohonan pinjaman bagi pembelian rumah kediaman susut daripada RM35 bilion pada September 2022 kepada RM26.6 bilion untuk bulan pertama tahun ini, disebabkan kos pembiayaan yang tinggi selaras kenaikan OPR).
Aliran penurunan sama dilihat dalam pembelian harta bukan kediaman yang menyusut kepada RM8.1 bilion berbanding RM11.5 bilion pada September lalu manakala bagi modal kerja ia menurun kepada RM15.4 bilion pada Januari 2023 berbanding RM28.5 bilion lima bulan lalu.
Justeru kata Ismail, kerajaan perlu memperbanyak kaedah pemilikan pembelian kediaman bagi mengelakkan masalah lambakan rumah tidak terjual ekoran masalah permohonan pinjaman daripada institusi kewangan yang merosot sejak lima bulan lalu.
Kata beliau, antara mekanisme terbaik bagi mengalakkan rakyat membeli rumah adalah menerusi kaedah sewa untuk dimiliki kepada golongan B40 dan M40 untuk memiliki rumah tanpa bebanan pinjaman yang menyukarkan mereka melakukan pinjaman.
“Antara kaedah lain adalah pengurangan kadar cuti setem dan bayaran bulanan lebih berpatutan khusus untuk golongan B40 dan M40,” katanya.
Dalam pada itu, Ismail berpandangan, penurunan permohonan pinjaman boleh menstabilkan semula isu lambakan kediaman tidak dijual dan peningkatan harga rumah yang terjadi sejak kebelakangan ini apabila semua pihak termasuk institusi kewangan mengambil langkah untuk mengelakkan lambakan kediaman di pasaran.
“Mungkin bank akan mempermudah pembiayaan kewangan manakala pemaju pula mengambil langkah tidak menaikkan harga rumah manakala pengeluar bahan binaan menjual bahan dengan harga tidak terlalu tinggi,” katanya.
Bagi Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Datuk Dr. Paul Selvaraj berkata, meningkatkan pendapatan rakyat dan memperbanyak peluang pekerjaan merupakan dua formula bagi mengembalikan keyakinan rakyat untuk melakukan pinjaman bank.
Katanya, ketidaktentuan ekonomi kebelakangan dan kenaikan OPR telah mempengaruhi orang ramai yang masih was-was untuk meminjam dengan meneruskan tabungan kecemasan bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku pada masa akan datang.
“Justeru kerajaan perlu meningkatkan pendapatan rakyat dan memperbanyak peluang pekerjaan menerusi dasar-dasar yang dapat menjamin dua perkara ini. Jika perkara ini dapat diatasi, ini dapat meningkatkan rakyat untuk memohon pembiayaan bank,” katanya.
Paul berkata, institusi kewangan dan bank harus bertimbang rasa untuk tidak membebankan peminjam yang terkesan dengan impak kenaikan kos sara hidup dengan mengurangkan bayaran bulanan sekiranya kadar OPR dinaikkan lagi pada masa terdekat.
Malah ujarnya, perkara itu secara tidak langsung dapat mempengaruhi keyakinan orang ramai agar tidak bimbang untuk melakukan pembiayaan meskipun kadar faedah terpaksa dinaikkan. – UTUSAN










