PETALING JAYA: Kenaikan harga rumah berterusan dan upah tidak setimpal membebankan pekerja sektor swasta dalam usaha memiliki kediaman sendiri sekali gus menimbulkan persoalan sama ada agenda perumahan negara benar-benar merangkumi keperluan semua lapisan pekerja.
Setiausaha Agung Liga Pekerja-Pekerja Malaysia (LLRC), Gopal Krishnam Nadesan berkata, realiti pekerja sektor swasta jauh lebih mencabar walaupun terdapat beberapa skim perumahan terbuka kepada semua rakyat berpendapatan rendah seperti PR1MA, Residensi Madani dan Rumah PPR.
“Banyak pekerja yang bekerja di sektor swasta tidak mampu membeli rumah sendiri akibat kenaikan harga rumah yang berterusan dan upah yang tidak setimpal.
“Golongan yang paling terjejas ialah pekerja kanan yang telah berkhidmat antara 20 hingga 30 tahun yang dahulunya bermula dengan gaji sekitar RM600 hingga RM700 dan kini hanya menerima antara RM1,800 hingga RM2,500 sebulan.
”Gaji graduan baharu juga terus tidak bergerak. Harga rumah perlu dikawal dan spekulasi hartanah perlu dikurangkan,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Katanya, ramai pekerja muda terpaksa menyewa rumah atau bilik pada peringkat awal kerjaya mereka dan hanya akan mempertimbangkan pembelian rumah selepas berkahwin.
“Cabaran seterusnya ialah beban pembayaran balik ansuran yang menjadi tekanan berterusan kepada golongan muda di negara ini.
“Hutang perumahan telah menjadi satu bentuk tekanan yang berat ditanggung oleh pekerja muda Malaysia hari ini,” katanya.
Beliau berkata, terdapat kerisauan mengenai pengumuman kerajaan berhubung projek perumahan untuk penjawat awam.
“Tiada masalah untuk memberi manfaat kepada penjawat awam. Tetapi saya berharap pengumuman tersebut bukan merupakan taktik pilihan raya semata-mata bagi meraih undi.
“Ahli politik perlu ikhlas berkhidmat kepada rakyat sepanjang tempoh penggal mereka dan bukan hanya membuat kenyataan besar ketika pilihan raya menjelang tiba,” katanya.
Menurutnya, kerajaan harus menggubal dasar yang sedia ada dan mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti dengan menaikkan upah pekerja swasta.
”Langkah ini dapat menyediakan lebih banyak perumahan sosial, meminimumkan spekulasi dalam pasaran hartanah serta menyokong usaha pengorganisasian kesatuan sekerja dan rundingan kolektif demi meningkatkan upah dan faedah pekerja.
“Isu perumahan antara penjawat awam dan pekerja swasta adalah satu bentuk ketidaksamaan yang perlu ditangani secara serius,” ujarnya. – UTUSAN










