PH kekal MB di tiga negeri

PH kekal MB di tiga negeri

Pakatan Harapan (PH) mahu mengekalkan penguasaan mereka di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) kekal meletakkan calon Menteri Besar daripada parti itu di tiga negeri yang ditadbir mereka manakala di Kedah, Kelantan dan Terengganu dipertimbang untuk Barisan Nasional (BN) jika menang pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri berkenaan tidak lama lagi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad berkata, bagaimanapun calon Menteri Besar yang diletakkan BN akan diteliti dan diputuskan dalam mesyuarat secara bersama.

“Itu tidak boleh dinafikan, calon Menteri Besar di Selangor, Negeri Sembilan dan Ketua Menteri di Pulau Pinang kita akan kekalkan pada penyandang. BN tidak banyak kerusi, jadi mereka kena terima hakikat.

“Tetapi calon Menteri Besar di tiga negeri lain itu mungkin kita akan berunding, kemungkinan ia lebih condong untuk diberi kepada BN. Tetapi kita mahu tengok dulu siapa calonnya. Ia mesti dibincang dan dirunding semula,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Isu poster boy telah diselesaikan Perikatan Nasional (PN) terlebih dahulu di negeri Selangor dan Negeri Sembilan bagi menghadapi enam PRN tidak lama lagi.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya yakin mampu merampas semula kedua-dua negeri berkenaan selain mengambil sebahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.

Dalam pada itu, Khalid berkata, PH tidak meletakkan BN sebagai ‘bebanan’ pada PRN nanti meskipun sebelum ini menjadi modal kempen pilihan raya yang sering dikaitkan dengan rasuah dan kleptokrasi.

Katanya, pemimpin yang terlibat dengan kes mahkamah termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi masih berjalan seperti biasa, sekali gus pihaknya tidak mencampuri urusan berkenaan.

“Memang saya rasa kebanyakannya pada peringkat awal, ada rasa begitu, tidak begitu seronok, tetapi sekarang saya lihat ramai sudah memahami kenapa kita bentuk kerajaan bersama dengan BN, kerana kita tiada pilihan lain.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim (Perdana Menteri) pun buat perkara yang selari dengan kehendak pengundi. Lawan rasuah dan monopoli kartel, setakat ini pengundi PH boleh terima. Tetapi mahu tengok pengundi UMNO boleh sokong PH atau tidak, kita tunggulah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN