Pesawah didakwa dera anak tiri - Utusan Malaysia

Pesawah didakwa dera anak tiri

TERTUDUH (kanan) dibawa masuk ke mahkamah atas pertuduhan mendera anak tirinya berusia enam tahun sehingga mengakibatkan kecederaan fizikal pada kanak-kanak berkenaan di Mahkamah Sesyen, Kangar, Perlis. - UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Seorang pesawah didakwa di Mah­kamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan mendera anak tirinya yang berusia enam tahun antara tempoh dari 8 Mac sehingga 14 Mac lalu.

Tertuduh, Muhammad Sofi Ramli, 34, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Musyiri Peet.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan penganiayaan sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadap kanak-kanak perempuan berusia enam tahun itu.

Tertuduh didakwa me­lakukan perbuatan tersebut di sebuah rumah sekitar Alor Lanchang, Jejawi.

Selain itu, dia didakwa di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Lee Jun Keong memohon agar tertuduh dikenakan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dan pihak terlibat juga dilarang mendekati mangsa sepanjang tempoh perbicaraan.

Namun peguam tertuduh, Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim memohon agar anak guamnya dikenakan jaminan minimum bersama aku janji tidak akan menetap di rumah bersama mangsa dan akan akur dengan sebarang syarat tambahan dikenakan.

Mahkamah menetapkan tertuduh dikenakan jaminan RM10,000 de­ngan seorang penjamin.

Tertuduh dikenakan syarat tambahan iaitu perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan tidak meng­ganggu mangsa sepanjang tempoh perbicaraan.

Tarikh 3 Mei ini ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya