KYIV: Ukraine mengesahkan bahawa angkatan tenteranya telah melancarkan serangan dron secara besar-besaran semalaman.
Serangan itu menyasarkan beberapa tapak ketenteraan dan kemudahan infrastruktur penting di dalam wilayah dan kawasan yang dikuasai Russia.
Menerusi satu hantaran di saluran Telegram, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky pada Sabtu memaklumkan sebuah lagi fasiliti sektor minyak milik Russia berjaya digempur di Armavir.
Ia terletak dalam wilayah Krasnodar, Russia, iaitu kira-kira 500 kilometer dari sempadan Ukraine.
Zelensky menyifatkan operasi tersebut sebagai sebahagian daripada kempen sekatan jarak jauh oleh Ukraine terhadap sasaran ketenteraan dan tenaga musuh.
Beliau menyatakan bahawa tindakan membawa pulang bahang peperangan ke tempat asalnya adalah satu langkah yang sepenuhnya adil.
Pihak berkuasa Russia kemudian mengesahkan insiden serangan dron berkenaan yang telah menjejaskan sebuah fasiliti milik syarikat Southern Oil Company di kawasan perindustrian Armavir.
Berdasarkan kenyataan pegawai tempatan di Telegram, kemudahan tersebut mengalami kerosakan ekoran serangan pesawat tanpa pemandu (UAV) itu.
Serangan itu mencetuskan kebakaran besar di sebuah depoh minyak, sehingga menyaksikan agensi kecemasan dikerahkan bagi mengawal api an menilai tahap kemusnahan.
Terdahulu, Komander Pasukan Sistem Tanpa Pemandu Ukraine, Robert Brovdi menyatakan bahawa operasi bersepadu yang dilancarkan itu telah berjaya membedil sebanyak 23 sasaran ketenteraan dan strategik pihak lawan. – AGENSI










