Pertuduhan bukan atas desakan, tidak memihak sesiapa - Peguam Negara

Pertuduhan bukan atas desakan, tidak memihak sesiapa – Peguam Negara

IDRUS HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Peguam Negara menegaskan bahawa keputusan untuk mengenakan pertuduhan terhadap mana-mana orang adalah berdasarkan keterangan dan fakta hasil daripada penyiasatan, dan bukan atas desakan mana-mana pihak atau faktor lain.

Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berkata, ia susulan daripada tohmahan bahawa berlakunya pendakwaan terpilih (selective prosecution), bermotif politik dan penganiayaan (persecution) dalam pendakwaan kes baru-baru ini.

Beliau menegaskan, keputusan dibuat dengan adil berdasarkan keterangan dalam kertas siasatan, tidak memihak kepada sesiapa berlandaskan teras integriti.

“Ini bagi memastikan mangsa, saksi, tertuduh dan orang awam memperoleh keadilan sewajarnya selaras dengan bidang kuasa Peguam Negara yang diperuntukkan di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.

“Jabatan Peguam Negara menafikan tohmahan terhadap wujudnya pendakwaan terpilih (selective prosecution), bermotif politik dan penganiayaan (persecution) terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan di bawah mana-mana peruntukan undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Idrus berkata, sekiranya terdapat keterangan dan bukti kukuh bahawa mana-mana individu telah melakukan kesalahan di bawah mana-mana peruntukan undang-undang, individu tersebut akan didakwa berdasarkan peruntukan undang-undang tanpa mengira status dan latar belakang.

Terdahulu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan pertuduhan terhadapnya adalah satu ‘pertuduhan terancang’ dengan mendakwa keputusan untuk mendakwa beliau sebenarnya dibuat lebih awal oleh pihak yang paling berkuasa dalam pentadbiran negara sebelum siasatan dilengkapkan.

“Semalam saya diberitahu bahawa Jabatan Peguam Negara untuk mendakwa saya sedangkan keterangan belum dibuat lebih awal. Ini jelaskan keputusan (pendakwaan) dibuat lebih awal,” kata Muhyiddin.

Bekas Perdana Menteri itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di atas empat pertuduhan salah guna kedudukan membabitkan rasuah berjumlah RM232.5 juta.

Mengikut pertuduhan, Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiaddin Md. Yasin, 76, didakwa sebagai Perdana Menteri dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah menyalahgunakan kedudukan tersebut untuk mendapatkan suapan berjumlah RM232,500,000 bagi parti tersebut.

Selain itu, beliau menghadapi dua pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM195 juta.

Ahli Parlimen Pagoh itu didakwa sebagai Presiden Bersatu menerima wang tersebut daripada sebuah syarikat di antara 25 Februari 2021 dan 8 Julai 2022 di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stensen Sentral, Kuala Lumpur yang mana wang tersebut dimasukkan ke dalam akaun parti .- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya