Peraturan baharu MKI diperkenal, 4 jawatankuasa ditubuhkan - Sultan Selangor

Peraturan baharu MKI diperkenal, 4 jawatankuasa ditubuhkan – Sultan Selangor

SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenankan pengenalan peraturan baharu, Peraturan-Peraturan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) 2022 sebagai usaha menambah baik urusan perjalanan majlis itu.

Baginda selaku Pengerusi MKI bertitah, peraturan baharu MKI ini memperjelaskan garis panduan berkenaan struktur MKI terdiri daripada ahli-ahli yang dilantik khas mewakili Kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri.

Ia susulan persetujuan Majlis Raja-Raja menzahirkan persetujuan memperkasakan semula peranan MKI sebagai suatu institusi yang bertanggungjawab menasihatkan raja-raja Melayu dalam menambah baik tadbir urus agama Islam di peringkat Persekutuan.

Titah baginda, usaha ini amat penting agar MKI mampu mengimbangi antara kuasa, hak dan peranan raja-raja Melayu di dalam hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan serta menjaga hubungan baik dengan negeri-negeri.

“Usaha ini juga bertujuan memenuhi aspirasi umat Islam di Malaysia, terutama berkaitan dengan dasar bidang pengurusan, perundangan, pendidikan dan penyelarasan fatwa.

“MKI juga berperanan memastikan peranan utama mentadbir institusi agama Islam diserahkan kepada golongan ulama dan profesional yang bebas daripada sebarang pengaruh parti politik, dan mampu melaksanakan tanggungjawab selari dengan tuntutan al-Quran dan sunnah,” titahnya sempena Mesyuarat MKI Kali Ke-69, di sini hari ini.

Sultan Sharafuddin berkata, MKI juga diberi mandat menubuhkan empat jawatankuasa untuk menguruskan perkara berkaitan fungsinya, dengan jawatankuasa pertama ialah Jawatankuasa Muzakarah MKI yang sebelum ini dikenali sebagai Majlis Fatwa Kebangsaan; dianggotai mufti-mufti dan ulama seluruh negara.

Jawatankuasa kedua ialah Jawatankuasa Pendidikan Islam Kebangsaan (dahulu dikenali Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran Dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI); dianggotai wakil negeri masing-masing yang dilantik raja negeri itu.

Jawatankuasa ketiga pula ialah Jawatankuasa Pengurusan Hal Ehwal Islam Kebangsaan yang dianggotai wakil Majlis Agama Islam Negeri-Negeri setelah mendapat perkenan raja negeri itu, serta Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri.

“Jawatankuasa Keempat ialah Jawatankuasa Perundangan Islam Kebangsaan, dianggotai ahli yang dilantik Majlis Raja-Raja yang mempunyai kepakaran dalam undang-undang syarak dan juga undang-undang sivil.

“Selaras dengan pengenalan Peraturan baharu MKI 2022 itu juga, maka Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) julung kalinya dilantik sebagai Setiausaha kepada MKI, manakala Jakim pula secara rasmi bertindak sebagai urus setia kepada MKI,” katanya.

Sultan Selangor turut berkenan melantik pengerusi-pengerusi dan ahli-ahli bagi empat jawatankuasa itu setelah mendapatkan pandangan dari pihak-pihak berkaitan bagi memastikan mereka yang dilantik terdiri dalam kalangan mereka berwibawa dan mempunyai kepakaran masing-masing.

Pada masa sama, baginda turut meminta semua pihak menghormati peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak dan kuasa raja-raja Melayu.

Baginda juga yakin dengan bermulanya lembaran baharu ini, Majlis Raja-Raja sebagai suara raja-raja pemerintah di Malaysia dapat memainkan peranan sewajarnya untuk memajukan pentadbiran Islam di peringkat Persekutuan dan membolehkan hubungan lebih akrab dengan negeri-negeri, selari dengan lunas-lunas Perlembagaan.

“Beta juga berharap para wakil rakyat dan menteri yang dipilih rakyat akan menumpukan usaha menyelesaikan pelbagai kemelut yang sedang dihadapi rakyat, serta mengembalikan kemakmuran dan kegemilangan negara, sebagaimana diamanahkan.

“Baru-baru ini beta membaca petikan akhbar berkaitan ketetapan dasar kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang jaminan untuk tidak mengiktiraf golongan gejala homoseksual iaitu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dan konsep negara sekular.

“Jaminan yang diberikan Perdana Menteri bertepatan dan kena pada waktunya bagi memberi keyakinan kepada rakyat bahawa kerajaan serius dalam memelihara prinsip Islam beteraskan kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah,” titahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya