Penubuhan jawatankuasa khas siasat 1MDB dibawa ke Kabinet

Penubuhan jawatankuasa khas siasat 1MDB dibawa ke Kabinet

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penubuhan sebuah jawatankuasa khas berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan bank Goldman Sachs akan dibawa untuk dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet, Jumaat ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, langkah itu bagi mencari jalan penyelesaian berhubung perkara tersebut.

“Kita akan bangkitkan dalam mesyuarat jemaah menteri, jika ada sebarang pengumuman, ia akan dibuat selepas mesyuarat tersebut. Ia juga terpulang kepada Perdana Menteri jika ada keperluan, maka perkara ini akan saya bawa kepada jemaah menteri.

“Secara dasar, memang kalau kita lihat peranan Goldman Sachs ini kita tidak boleh pandang remeh dan perlekeh. Tetapi cara untuk kita uruskan, itu yang menjadi perbincangan di peringkat jemaah menteri.

“Seperti yang kita lihat, se­malam diumumkan kita dikembalikan lebih RM8 bi­lion hasil perbincangan antara kerajaan bersama Internatio­nal Petroleum Investment Company (Ipic) dan Aabar Investments PJS.

“Saya percaya kita dapat menguruskan isu ini termasuk Goldman Sachs akan dapat ditangani dengan baik,” katanya ketika ditemui, semalam.

Kelmarin, Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menggesa kerajaan meneliti kembali peranan peguam yang mewakili 1MDB kerana tidak memfailkan saman kepada bank pelaburan Amerika Syarikat, Goldman Sachs.

Menurutnya, perkara itu tidak seharusnya tertumpu kepada kepentingan politik semata- mata kerana tindakan perlu dikenakan terhadap sesiapa sahaja yang didapati bersalah.

“Kita rasa tidak adil skandal begitu besar hanya tumpukan kepada politik untuk mendapatkan duit kita. Siapa salah perlu ambil tindakan, tidak peduli.

“Saya tidak mahu Perdana Menteri akan datang apabila ada skandal, semua yang be­kerja dalam entiti tersebut tidak diambil tindakan, kita kena siasat. Kenapa mereka dapat gaji besar, apabila ada masalah letak di tangan semua orang?

“Saya rasa tidak adil. Kalau ada salah, saya minta ambil tindakan. Yang kerja berpuluh tahun dalam entiti tetapi tidak bersalah, macam mana ini? Ini cerita kartun,” katanya.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan yang beliau dibantu Johari untuk meneliti isu itu sekali gus mencari jalan penyelesaiannya.

“Perdana Menteri telah meminta Datuk Seri Johari bantu isu 1MDB, itu antara sebab beliau dilihat membangkitkannya. Datuk Seri Johari akan bantu Perdana Menteri dalam mene­liti dan cari jalan penyelesaian.

“Saya percaya dengan pera­nan dimainkan Datuk Seri Johari akan membantu melancarkan proses dalam mencari penyelesaian yang sewajar­nya,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN