Penjawat awam Kedah dititah profesional dan berkecuali - Sultan Sallehuddin

Penjawat awam Kedah dititah profesional dan berkecuali – Sultan Sallehuddin

SULTAN Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah pada majlis bersama penjawat awam Kedah yang julung-julung kali diadakan di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman di Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sultan Kedah menitipkan pesanan kepada penjawat awam di negeri ini agar bersikap profesional dan berkecuali, tanpa menyebelahi mana-mana pihak termasuk dalam aspek politik ketika melaksanakan tugas. 

Titah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, prinsip ‘rules of law’ perlu dipegang oleh kesemua penjawat awam tanpa mengira peringkat.

Baginda turut memberi ingatan betapa ‘tuan’ dalam politik akan datang dan pergi, namun perkhidmatan awam akan sentiasa kekal untuk terus berkhidmat.

“Jalinan kerjsama dan persefahaman tinggi di samping saling hormat-menghormati, mempercayai dan menasihati hendaklah menjadi budaya kerja yang utama antara satu sama lain.

“Dalam hal ini, tugas awam perlu diutamakan berbanding kepentingan peribadi,” titah baginda dalam majlis bersama penjawat awam Kedah yang julung-julung kali diadakan di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman di sini, hari ini. 

Sultan Sallehuddin turut menyeru agar amanah dan tanggungjawab yang dijunjung ketika berbakti buat rakyat terus dilaksanakan dengan sebaiknya secara profesional dan neutral tanpa mengira kaum, agama, politik mahupun kedudukan. 

“Natijahnya perkhidmatan yang dicurahkan di tahap terbaik akan memberikan manfaat kepada seluruh rakyat di Kedah,” titah baginda. 

Dalam pada itu, baginda turut bertitah kepada setiap penjawat awam dan agensi kerajaan negeri agar tidak mudah berpuas hati dengan sesuatu pekerjaan dilakukan. 

Baginda bertitah, mereka sebaliknya perlu sentiasa peka tentang perkembangan semasa dengan menghasilkan idea-idea baharu serta budaya kerja di luar kelaziman, demi keberhasilan luar biasa. 

Baginda juga menzahirkan harapan agar kerajaan dapat menyegerakan penyediaan infrastruktur jalur lebar 5G serta liputan perkhidmatan telekomunikasi dan jalur lebar lebih meluas di luar bandar, dalam negeri ini. 

“Usaha ini akan mendorong transformasi ke sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan negeri yang lebih efisien bagi memenuhi keperluan rakyat masa kini,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.