Pengusaha, nelayan kumpul duit dalamkan muara sungai cetek

Pengusaha, nelayan kumpul duit dalamkan muara sungai cetek

KERJA-KERJA mendalamkan laluan bot sedang dilaksanakan di muara Sungai Merang, Setiu, Terengganu. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIU: Seramai 3,000 komuniti pengusaha pelancongan dan nelayan dari tujuh kampung di sini mengambil inisiatif mengumpul dana untuk kerja-kerja mendalamkan laluan bot di muara Sungai Merang yang cetek akibat mendapan pasir.

Wakil komuniti yang juga pengusaha bot pelancongan, Azhar Che Razak, 31, berkata, dana itu mula dikumpul Jumaat lalu dan memperoleh sebanyak RM19,800.

Katanya, dana yang dikumpul itu digunakan untuk menyewa sebuah jengkaut bagi mendalamkan laluan bot ke jeti Merang dengan kos RM1,200 sehari.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, mereka difahamkan projek mendalamkan muara sungai ini disenaraikan untuk dilaksanakan kerajaan Pusat, namun belum bermula dan tidak ada tanda akan disegerakan.

“Kami semakin tertekan kerana perlu menggunakan laluan bot itu untuk membawa pelancong ke tiga pulau berdekatan iaitu Pulau Redang, Pulau Lang Tengah dan Pulau Bidong.

“Tindakan ini diambil selepas pengusaha bot pelancongan dan nelayan sudah tidak tahan lagi dengan masalah muara sungai cetek yang turut berisiko merosakkan enjin bot kerana dimasuki pasir,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sementara itu, pemilik Delima Redang Resort, Khairul Azizi Mohamad berkata, dia terpaksa menanggung kerugian antara RM85,000 hingga RM100,000 setiap tahun akibat pembatalan tempahan pelancong kerana masalah muara sungai yang ditimbuni pasir.

“Bot pelancong tak boleh masuk, kalau ada pun, terpaksa berhenti di beting pasir yang menutupi muara. Pelancong berjalan bersama barang-barang dan naik bot lain yang tunggu di seberang,” ujarnya.

Seorang nelayan, Jamaludin Mohamad, 56, pula berkata, dia dan 38 awak-awak terpaksa mencari pekerjaan lain setelah hampir enam bulan tidak dapat turun ke laut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini